Cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengedar kondom dan jarum boleh dianggap sebagai pendekatan `menghalalkan yang haram' dengan mengubahsuai cara melakukannya atas alasan keselamatan dan kesihatan.

Sebaliknya, badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), berkata cadangan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi sindrom kebebasan sehingga membawa kepada merebaknya gejala seks bebas.

Sehubungan itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, segala acara sosial yang melanggar undang-undang perlu dibanteras bagi membendung merebaknya HIV.

Katanya, pusat hiburan perlu dikawal sehingga tidak ada pihak menyalahgunakan permit serta melakukan pemeriksaan lebih kerap dan berterusan terhadap pekerja dan premis hiburan.

Manakala semua permit dan lesen khidmat pegawai khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur perlu dibatal dan diharamkan di negara ini, tambahnya.

"Iklan mengenai khidmat urut di dalam akhbar dan direktori telefon perlu disiasat dan diambil tindakan udang-undang jika berlaku kegitan tidak bermoral," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Azmi berkata, penagih dadah yang menjalani pemulihan di pusat serenti perlu melalui rawatan yang lebih berkesan untuk mengelak gejala penagihan berulang, memandangkan keadah rawatan tidak berkesan.

Budaya hedonistik

Menurutnya, setiap tempat harus diwujudkan briged mencegah penagihan dadah dan tempat maksiat untuk menyerahkan mereka yang terlibat kepada pihak berkuasa.

Katanya, gejala sosial yang semakin berleluasa di negara ini juga berpunca daripada keadaan persekitaran, termasuk kebebasan yang melampau dan sikap liberal yang diamalkan oleh pihak berkuasa dan masyarakat.

"Kelulusan yang sangat banyak akhir-akhir ini untuk acara hiburan dan budaya hedonistik menyebabkan masyarakat semakin hilang panduan, kesedaran dan penghayatan agama," katanya.

Sementara itu, Persatuan Bidan Tradisional Wilayah Utara (PBTWU) terkejut dengan cadangan tersebut memandangkan Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh.

Pengerusinya, Faridah Ahmad berkata, pembahagian kondom dan jarum bukan kaedah yang sihat, malah ia akan menjadi satu fenomena yang memalukan.

Katanya, PBTWU menyarankan supaya kerajaan mengambil langkah menggiatkan tindakan membasmi maksiat dan bukan menggalakkan rakyat melakukan maksiat secara `selamat.'

"Kami menuntut kerajaan mengambilkira pendekatan syarak yang dicadangkan oleh ulama, selain meningkatan pencegahan. Penagih tegar perlu dipisah dan dikurantinkan demi kepentingan awam," katanya dalam kenyataan semalam.

Menggalakkan perzinaan

Sebelum ini Kerajaan Negeri Perak turut telah menolak cadangan Kementerian Kesihatan untuk memberi kondom dan jarum percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan jangkitan HIV/Aids.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia tidak akan membawa kebaikan kepada penagih dan masyarakat.

"Kita berpendapat bahawa cara ini bukan untuk membaiki keadaan... adakah kita perlu bersetuju dengan cadangan yang menggalakkan perzinaan?" katanya dalam satu laporan Bernama.

Cadangan Kementerian Kesihatan itu bertujuan mengurangkan kadar jangkitan HIV/Aids di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek sebelum ini berkata kementerian akan menjalankan projek perintis enam bulan "Program Pengurangan Kesan Buruk" membabitkan 1,200 penagih dadah terutama mereka yang mengambil dadah melalui suntikan dengan memberikan mereka jarum suntikan, kondom dan dadah gantian yang dipanggil 'methadone'.