Seorang jurujual hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Banting terhadap tuduhan gagal mengawal tiga ekor anjing peliharaannya sehingga menyebabkan seorang budak lelaki berumur sembilan tahun cedera parah.

Lelaki itu, Chong Foo Meng, 42, yang hadir ke mahkamah berkemeja putih dan berseluar hitam, didakwa dengan cuainya telah gagal untuk mengambil langkah-langkah yang memadai untuk menjaga tiga ekor anjing miliknya bagi menghindarkan apa-apa bahaya kepada nyawa manusia hingga menyebabkan haiwan-haiwan itu mendatangkan cedera parah kepada Mohammad Hazman Khan bin She Zahidi.

Menurut laporan Bernama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 37, Jalan PP 3/6, Taman Putra Perdana Puchong pada 1 petang 19 Mac lalu.

Chong yang ditahan pada 22 Mac, didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Azar Irwan Mohd Arifin memohon supaya tiga ekor anjing milik Chong diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Sepang.

Beliau berkata sekarang ini anjing-anjing itu diletak bawah jagaan dan simpanan unit anjing di balai polis Sepang.

Cedera parah

Majistret Noridah Adam membenarkan Chong diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan juga membenarkan permohonan Azar berhubung penjagaan ketiga-tiga anjing itu.

Noridah juga menetapkan 30 Ogos ini untik perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret Sepang.

Pada 18 Mac lalu, Mohammad Azman cedera parah selepas diserang anjing milik jirannya di Taman Putra Perdana yang mengakibatkan beliau terpaksa menerima 140 jahitan di kepala dan 40 jahitan di badannya.

Mohammad Hazman, pelajar Sekolah Kebangsaan Putra Perdana, pada ketika kejadian sedang berjalan bersama dua sepupunya untuk ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat Jumaat.