Gomez: Ketiadaan kesungguhan politik untuk basmi rasuah
Terjemahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dilihat mempunyai kesungguhan politik untuk membasmi rasuah sekiranya institusi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kuasa autonomi untuk bebas menyiasat aduan yang diterima, kata pensyarah ekonomi Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez.
Terjemahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dilihat mempunyai kesungguhan politik untuk membasmi rasuah sekiranya institusi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kuasa autonomi untuk bebas menyiasat aduan yang diterima, kata pensyarah ekonomi Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez.
"Jika beliau benar-benar ikhlas untuk membanteras rasuah, Abdullah mesti membenarkan institusi seperti BPR kebebasan menjalankan tugasnya," katanya kepada malaysiakini dalam satu wawancara ekslusif baru-baru ini.
Gomez yang banyak menulis mengenai isu-isu rasuah dan politik wang, berkata, BPR tidak sepatutnya menerima arahan daripada pihak eksekutif.
"Tidak memadai dengan berkata 'Saya telah menubuhkan institut integriti untuk menangani masalah ini. Anda juga mesti menunjukkan kemampuan untuk membenarkan institusi-institusi ini bertindak secara bebas," tegasnya.
Menurutnya, sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hanya dua kes besar rasuah membabitkan bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Koperasi, Datuk Kasitah Gaddam dan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia dibawa ke mahkamah.
"Yang lain-lainnya membabitkan kes-kes kecil. Bagaimanapun, saya tahu, berdasarkan penyelidikan saya, terdapat dakwaan-dakwaan rasuah yang serius membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang besar," katanya.
Graduan menganggur.
Mengenai pembangunan ekonomi negara, Gomez berkata, kerajaan patut memberi lebih banyak sokongan kepada bidang perniagaan industri kecil dan sederhana.
"Negara tidak menyalurkan sokongan mencukupi kepada syarikat-syarikat yang telah memperlihatkan kemampuan mereka, tetapi tidak mempunyai wang atau sedikit wang untuk tujuan R&D supaya mereka boleh meningkatkan kemampuan dalam bidang teknologi," katanya.
Gomez juga menyentuh mengenai kemerosotan kualiti para graduan universiti, yang menurutnya telah menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan mereka.
Kualiti graduan
Kataya, pelajar universiti kini berdepan dengan tiga masalah utama kurang kemahiran bahasa, kemahiran pemikiran kritikal dan pensyarah yang kurang berkualiti.
Berikutan itu, katanya, para graduan sistem pendidikan awam negara, tidak mendapat latihan secukupnya apabila menamatkan pengajian di universiti.
Dalam bahagian pertama wawancara dengan Gomez yang disiarkan Isnin lalu, beliau bercakap mengenai amalan pilih kasih dalam kenaikan pangkat pensyarah, sistem emel dalaman dipantau pihak universiti dan markah pelajar UM dipinda.
Dalam bahagian kedua wawancaranya, Gomez menekankan mengenai kurang ketelusan dalam amalan kenaikan pangkat di UM dan menegaskan butiran diri pensyarah yang dinaikkan pangkat mesti dimaklumkan kepada umum.
Gomez sedang mengambil cuti pelepasan selama dua tahun di UM untuk mengetuai projek penyelidikan di Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebelum ini, pihak pengurusan UM telah menolak permohonan cutinya itu, tetapi kerajaan telah membatalkan keputusan tersebut dan seterusnya meluluskan permohonan Gomez itu.
Dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Isnin lalu, Gomez berkata, Abdullah mahu beliau terus bercakap mengenai perkara-perkara yang membabitkan kepentingan awam.

