Peh enggan serah kuasa pada pengerusi baru MCA Bkt Mertajam
Bekas pengerusi MCA bahagian Bukit Mertajam, Peh Choon Pang berkata beliau tidak akan menyerahkan kuasa kepada pengerusi bahagian itu yang baru, Lau Chiek Tuan, sehingga krisis kepimpinan bahagian itu diputuskan oleh mahkamah.
Bekas pengerusi MCA bahagian Bukit Mertajam, Peh Choon Pang berkata beliau tidak akan menyerahkan kuasa kepada pengerusi bahagian itu yang baru, Lau Chiek Tuan, sehingga krisis kepimpinan bahagian itu diputuskan oleh mahkamah.
Katanya, empat bekas ahli jawatankuasa lama bahagian itu akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon perintah untuk mengisytiharkan pencalonan dan mesyuarat jawatankuasa bahagian itu, masing-masing pada 8 Jun dan 14 Jun lalu, sebagai tidak sah.
Peh memberitahu pemberita di Bukit Mertajam hari ini bahawa saman itu dikemukakan kerana jawatankuasa lama berpendapat mesyuarat berkenaan tidak sah kerana mendakwa terdapat lebih 5,000 ahli hantu di 32 cawangan dalam bahagian itu yang turut menyertai pencalonan dan mesyuarat berkenaan.
"Kami ahli jawatankuasa daripada 21 cawangan MCA bahagian Bukit Mertajam dengan sebulat suara tidak akan menerima dan tidak mengakui anggota jawatankuasa yang baru dipilih kerana terdapatnya ahli-ahli hantu," katanya.
Menurut laporan Bernama, Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Berapit, memenangi jawatan pengerusi bahagian itu tanpa bertanding selepas Peh dan semua penyandang jawatan memulau pencalonan dan mesyuarat itu.
Laporan polis
Sementara itu, satu laporan polis dibuat terhadap Peh kerana didakwa menceroboh bangunan bahagian itu dan mengadakan sidang media tanpa kebenaran hari ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah oleh Ong Tang Chuan, pembantu peribadi kepada Ketua Bahagian MCA Bukit Mertajam yang baru, Lau Chiek Tuan, pada 4.30 petang tadi.
Peh didakwa telah menceroboh bangunan itu di Jalan Asmara di sini pada 12 tengah hari ini bagi mengadakan sidang media tanpa mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan parti bahagian berkenaan.
Menurut laporan itu, Peh tidak mendapat kebenaran memasuki bangunan itu daripada Lau atau ahli jawatankuasa bahagian itu yang dipilih secara sah yang bertanggungjawab terhadap harta benda bahagian itu.
Lau memenangi jawatan ketua bahagian itu tanpa bertanding selepas Peh dan penyandang jawatan di bahagian berkenaan memulau pencalonan jawatan pada 8 Jun serta mesyuarat bahagian itu semalam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.