Debat berhubung keputusan Mahkamah Perindustrian semakin panas
Perdebatan berterusan mengenai keputusan Mahkamah Perindustrian Selangor menolak kes 54 pekerja Indonesia yang menuntut gaji mereka yang belum dibayar dengan alasan mereka adalah pendatang tanpa izin.
Perdebatan berterusan mengenai keputusan Mahkamah Perindustrian Selangor menolak kes 54 pekerja Indonesia yang menuntut gaji mereka yang belum dibayar dengan alasan mereka adalah pendatang tanpa izin.
Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh berkata keputusan itu 'bukan perkembangan yang positif' manakala Kedutaan Indonesia pula menyifatkannya sebagai "duluan yang tidak baik'.
Khamis lalu, mahkamah tersebut telah menolak tuntutan 54 pekerja Indonesia itu atas alasan mereka memasuki dan bekerja di negara ini secara haram.
"Isu tersebut membabitkan soal keadilan sosial dan harus melepasi aspek teknikal perundangan. Ia perlu melihat isu keadilan yang terbabit," kata Yeo ketika dihubungi.
Dalam kes pekerja terbabit, beliau berkata, mereka sepatutnya dibayar gaji yang belum dijelaskan itu, walaupun status mereka dipersoalkan.
Bagi menjelaskan lagi hujahnya, Yeo mengambil contoh bagaimana anak yang dilahirkan secara tidak sah di segi perundangan, boleh membuat tuntutan sarahidup daripada bapanya.
"Isu seumpama ini tidak semata-mata dilihat dari sudut status perundangannya tetapi juga membabitkan tanggungjawab dan keadilan sosial," katanya.
Sehubungan itu, Yeo berkata, Akta Imigresen dan hak pekerja terbabit sepatutnya dilihat sebagai dua isu berasingan.
Melindungi majikan
Kedutaan Indonesia pula berkata, keputusan mahkamah itu boleh mendorong syarikat-syarikat lain mengambil pekerja tanpa izin dan tidak membayar gaji mereka.
"Menafikan hak mereka mendapatkan gaji itu adalah bertentangan dengan hak asasi. Walaupun mereka masuk ke negara ini secara haram, jika mereka bekerja, mereka mesti dibayar gaji," kata Setiausaha Pertama Jabatan Penerangan di kedutaan tersebut, Eka Suripto.
"Jika tidak, pihak syarikat akan terdorong untuk menggaji pekerja tanpa izin dan tidak membayar mereka, kerana menyedari bahawa mereka(majikan) boleh melepaskan diri kemudiannya. Ini memang tidak betul," tambahnya.
Menurut Eka, sewaktu tempoh pengampunan untuk pekerja tanpa izin awal tahun ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn (foto) dilaporkan berkata, pekerja tanpa izin yang tidak dibayar gaji, boleh membuat tuntutan apabila masuk semula ke negara ini secara sah.
"Ini menyokong hujah bahawa pekerja perlu diberi hak mereka untuk dibayar gaji," katanya.
Mengulas keputusan mahkamah tersebut, Eka berkata, status imigresen seseorang individu tidak boleh mengatasi haknya dibayar gaji.
Sambil menegaskan bahawa pihaknya akan terus membantu pekerja terbabit, beliau juga berkata keputusan tersebut akan dianggap sebagai langkah melindungi majikan yang tidak bertanggungjawab dan mengenepikan tanggungjawab majikan yang menggaji pekerja tanpa izin.
"Kita bersetuju bahawa pekerja tanpa izin perlu dihadapkan ke mahkamah keadilan, tetapi mengapa mereka yang menggaji pekerja ini tidak dilayan seperti itu juga?" soalnya.
Dakwa majikan terbabit
Manakala Timbalan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor pula menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap majikan yang terbabit dalam kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau juga menegaskan bahawa pekerja terbabit sepatutnya sudah menyedari keputusan mahkamah itu tidak akan menyebelahi mereka kerana mereka masuk dan bekerja di negara ini secara haram.
Pekerja terbabit adalah antara 90 pekerja tanpa izin yang mendakwa majikan mereka subkontraktor Sri Mega Jaya tidak membayar gaji yang mencukupi berjumlah RM150,000 selepas mereka bekerja di projek kondominium di in Damansara Damai, Selangor, sejak September lalu.
Kontraktor utamanya adalah Plato Construction, milik penuh MK Land Holdings syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia. MK Land menafikan menggaji pekerja tanpa izin.
Kumpulan sokongan pekerja asing, Tenaganita juga turut mengkritik keputusan mahkamah itu dan bimbang ia akan membawa kepada peningkatan kes penganiayaan pada masa depan.

