Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim membidas media kerana mensensasikan laporan tentang keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan semalam yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap dua beradik kerana meminum arak.

Menurut beliau, media tempatan sepatutnya melaporkan kes berkenaan itu secara biasa dan tidak bertindak mensensasikannya kerana ia boleh memburukkan imej agama Islam dengan dakwaan bahawa undang-undang Islam kejam terhadap manusia.

"Masalahnya ialah media cuba menonjolkannya lebih daripada kebiasaan, cuba mensensasikann yang tidak baik daripada perspektif Islam. Ada sesetengah orang mengatakan bahawa undang-undang Islam itu kejam kepada manusia.

"Kadang-kadang dibesar-besarkan. Saya harap media akan membantu menonjolkan kes ini dengan cara lebih baik," katanya kepada pemberita sempena tamatnya Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-69 selama dua hari di Johor Bharu yang berakhir semalam.

Menurut laporan Bernama, Ismail yang baru dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi mulai bulan depan berkata, penguatkuasaan undang-undang syariah tentang pengambilan arak oleh orang Islam dan hukuman terhadap mereka yang melanggarinya adalah sesuatu yang wajar.

Majlis Agama Islam negeri-negeri tidak melaksanakan undang-undang mengenai sesuatu kes itu sesuka hati tetapi mereka telah diberi kuasa mengikut peruntukan yang terkandung dalam akta dan undang-undang syariah, katanya.

Hukuman sebat

Isnin lalu, dua beradik, Mohd Nizam Ibrahim, 32 dan Mohd Nasha, 30, dihukum enam sebatan oleh mahkamah berkenaan selepas mengaku bersalah meminum arak mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987).

Kedua-dua beradik melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran bukan Melayu di Jalan Bukit Ubi pada pukul 11.32 malam, 19 Ogos tahun lalu itu turut didenda RM5,000 setiap seorang oleh Hakim Abdul Rahman Yunus.

Ismail berkata, hukuman sebatan di Mahkamah Syariah tidak sama seperti di Mahkamah Sivil kerana ia hanya bertujuan untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada pesalah.

Menurutnya ketagihan arak merupakan satu masalah bukan sahaja terhadap orang Islam dan juga yakin bahawa ibu bapa bukan Islam juga tidak mahu anak-anak mereka terjebak dengan gejala ketagihan itu.

"Di dalam Islam, arak adalah ibu kepada segala kejahatan," katanya yang telah memegang jawatan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan selama lima tahun.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Abdul Rahim Jaafar berkata, hukuman sebat ke atas dua beradik itu akan dijalankan mengikut kaedah yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan melainkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan sebaliknya.

Katanya, ini kerana Pahang belum mempunyai Enakmen Jenayah Syariah walaupun ia telah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diluluskan.

Kanun Keseksaan

Mengikut Enakman Jenayah Syariah yang dilaksanakan di negeri-negeri lain, mana-mana kesalahan syariah yang melibatkan sebatan sebagai hukuman akan dijalankan mengikut kaedah syariah yang telah ditetapkan.

Abdul Rahim yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan berkata jika Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan supaya kedua-dua pesalah itu diserahkan kepada pihak polis, maka kemungkinan besar mereka akan disebat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan.

"Jika Hakim Syarie memutuskan untuk menunggu hukuman dijalankan mengikut kaedah syariah, maka ia (hukuman) akan ditangguhkan sehingga kerajaan negeri meluluskan Enakmen Jenayah Syariah tersebut," katanya.

Abdul Rahim berkata mengikut kaedah syariah, ada cara tertentu untuk melaksanakan hukuman sebat.

"Semua perkara akan diberi perhatian, jenis rotan, cara pukulan, kawasan yang akan dipukul dan pelbagai aspek lain. Dalam erti kata lain, ia lebih "lembut" berbanding cara Kanun Keseksaan yang agak "keras"," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta menerangkan dengan lebih lanjut bentuk pelaksanaan hukuman sebat mengikut kaedah syariah, memandangkan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) tidak memperincikan perkara tersebut.

Bertepatan dengan enakmen

Sementara itu, Mufti Negeri Pahang, Datuk Sulaiman Ahmad berkata keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu bertepatan dengan enakmen yang telah digubal dan tidak seharusnya menimbulkan kejutan kepada orang ramai hanya kerana tidak pernah dibuat sebelum ini.

Beliau berkata para pegawai JAIP tidak seharusnya menjadikan isu ini sebagai alasan untuk tidak bertindak tegas semasa menjalankan tugas mereka kerana ia sah mengikut undang-undang.

"Saya harap mereka tidak tertekan dengan perkara ini dan terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, iaitu untuk mencegah umat Islam negeri ini daripada melakukan perkara-perkara mungkar," katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata hukuman tersebut diharapkan mampu membuka mata semua pihak di negeri ini, khususnya para pengamal undang-undang.

Adnan yang pada mulanya agak keberatan mengulas mengenai perkara berkenaan berkata pihak yang tidak berpuas hati masih berpeluang untuk membuat rayuan.

"Undang-undang adalah adil. Walaupun keputusan telah dijatuhkan, kita masih boleh merayu, tetapi saya sangat berharap agar ia (hukuman) bukan sahaja membuka mata pihak yang terlibat malah di kalangan para pengamal undang-undang," katanya.

Beliau berkata adalah wajar jika para pengamal undang-undang mengadakan seminar, dialog atau muzakarah sesama mereka bagi mengkaji keberkesanan hukuman berkenaan.