Mustafa Ali ganti Hadi sebagai pesuruhjaya PAS Terengganu
Dalam satu keputusan yang dianggap agak mengejutkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan digantikan oleh bekas Naib Presiden, Datuk Mustafa Ali.
Dalam satu keputusan yang dianggap agak mengejutkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan digantikan oleh bekas Naib Presiden, Datuk Mustafa Ali.
Keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pusat PAS yang bermesyuarat malam tadi untuk melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS negeri.
Mustafa tidak bertanding mempertahankan jawatan naib presiden dalam muktamar PAS di Kota Baru baru-baru ini. Beliau juga tidak dilantik menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.
Manakala tiga pesuruhjaya negeri Datuk Dr Hassan Ali (Selangor), Dr Rosly Yaakob (Negeri Sembilan) dan Azizan Abdul Razak (Kedah) yang dikatakan tidak popular di kalangan ahli PAS di negeri masing-masing, bagaimanapun dikekalkan.
Azizan baru sahaja selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Pulau Pinang.
Seperti yang dijangkakan, Wilayah Persekutuan dan Johor masing-masing mendapat pesuruhjaya baru selepas para penyandangnya telah menyatakan hasrat mereka untuk bersara.
Mustafa terkejut
Pesuruhjaya baru bagi Wilayah Persekutuan ialah Haji Mohamad Nor manakala ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mahfodz Mohamad dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Johor.
Menurut sumber-sumber PAS, selain perubahan tersebut, mesyuarat Jawatankuasa Pusat malam tadi bersetuju untuk mengekalkan pesuruhjaya PAS di negeri-negeri lain.
Menurutnya, senarai penuh pesuruhjaya PAS negeri-negeri dijangka diumumkan hari ini.
Sumber-sumber itu juga berkata, Mustafa dilaporkan terkejut apabila beliau dilantik untuk menggantikan Hadi selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu.
"Kemungkinan Datuk Seri Abdul Hadi memberikan jawatan tersebut kepada Datuk Mustafa kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti selepas tidak bertanding sebarang jawatan dalam muktamar lalu.
"Malah, beliau juga tidak dilantik menganggotai Jawatankuasa Pusat. Jadi, dengan cara ini Datuk Mustafa masih dapat memain peranan untuk terus memberi sumbangan kepada parti," kata sumber-sumber itu lagi.

