Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Mohd Ali Hassan menyangkal kenyataan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penolakan cadangan pemilihan Majlis Tertinggi (MT) di peringkat bahagian oleh Umno negeri itu, adalah pandangan peribadi Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman.

Sebaliknya, kata Mohd Ali, ia adalah keputusan sebulat suara mereka yang hadir dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor di ibu pejabat Umno Johor Sabtu lalu.

"Badan Perhubungan Umno Johor, dalam mesyuaratnya Sabtu lalu, telah membangkitkan saranan supaya pemilihan MT dibuat di peringkat bahagian. Beberapa ahli memberikan pandangan dan kesemuanya tidak bersetuju.

"Berdasarkan pandangan itu, pengerusi membangkitkan sama ada cadangan itu perlu diterima atau tidak. Ahli-ahli yang hadir menyatakan bersetuju ia ditolak. Pada masa yang sama, tiada seorang pun di kalangan ahli yang hadir pada mesyuarat itu membantah pendirian tersebut," katanya.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya semalam, Mohd Ali berkata, mesyuarat Sabtu lalu itu juga berlangsung dalam suasana penuh mesra tanpa sebarang ketegangan.

"Semua orang berada dalam keadaan ceria, penuh dengan gelak ketawa. Tiada ketegangan langsung," tegasnya.

Mohd Ali menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa penolakan Umno Johor terhadap cadangannya agar pemilihan MT dilakukan di peringkat bahagian itu, adalah kenyataan peribadi Abdul Ghani (foto) yang juga Menteri Besar Johor.

Menurut laporan Bernama, Sabtu lalu, Abdul Ghani dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, mengumumkan Umno Johor menolak cadangan Muhyiddin itu kerana ia akan memburukkan lagi masalah politik wang dalam Umno.

Wakil Muhyiddin hadir

Mohd Ali berkata, Muhyiddin (foto) yang tidak menghadiri mesyuarat Sabtu lalu kerana berada di luar negara, telah diwakili oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Tahir Mohd Taat.

"Bagaimanapun, Saudara Tahir tidak menyatakan apa-apa pandangan ketika mesyuarat berkenaan," menurutnya sambil menunjukkan catatannya perjalanan serta keputusan yang diambil oleh Umno Johor di mesyuarat tersebut.

"Keputusan Sabtu lalu juga dicatatkan dalam minit mesyuarat. Ia adalah satu keputusan yang telah diambil dan tidak akan berubah," katanya.

Selain Muhyiddin, Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi, Ketua Umno Bahagian Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Wanita Johor Datuk Halimah Sadique juga tidak hadir mesyuarat itu.

Mohd Ali juga menafikan mesyuarat tersebut sengaja diadakan ketika Muhyiddin berada di luar negara dan berkata setiap anggota Badan Perhubungan Umno Negeri Johor telah dimaklumkan tentang mesyuarat itu lebih awal sebelum itu.

Beliau juga berkata, mesyuarat pada Sabtu lalu juga bersetuju agar jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Ahmad Zahri Jamil menyediakan satu kertas kerja mengenai langkah-langkah mencegah politik wang.

Mesyuarat Sabtu lalu, katanya, telah menangguhkan perbincangan tentang cadangan-cadangan jawatankuasa tersebut dan akan hanya membincangkannya pada mesyuarat khas Umno Johor pada akhir bulan ini.

"Ini bermakna keputusan penolakan cadangan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno dibuat di peringkat bahagian adalah satu perkara berbeza daripada keputusan menangguhkan perbincangan mengenai kertas kerja jawatankuasa khas itu," katanya.