Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AirAsia X nafi minta bantuan peribadi daripada Rolls-Royce
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 10:21 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

AirAsia X menafikan dakwaan bahawa ia memohon permintaan peribadi (personal favour) atau suapan daripada pengilang enjin jet Rolls-Royce PLC.

"AirAsia X, pengarah dan pegawainya tidak pernah memohon permintaan peribadi atau suapan daripada Rolls Royce selain daripada berunding bagi kemungkinan mendapatkan pertimbangan komersil dan kewangan yang terbaik bagi faedah syarikat itu," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, syarikat sekutunya, AirAsia Bhd, dalam satu kenyataan berasingan, berkata ia tidak pernah mempunyai urusan dengan Rolls Royce.

"Kami ingin menyatakan bahawa sepanjang masa, AirAsia tidak mempunyai urusan atau urus niaga dengan Rolls-Royce dan tidak tahu menahu mengenai sebarang perkara yang disebut dalam artikel itu," katanya.

AirAsia X dan AirAsia Bhd kedua-duanya adalah syarikat di bawah naungan Kumpulan AirAsia.

Serious Fraud Office (SFO) atau Pejabat Penipuan Berat UKtelah menamakan Kumpulan AirAsia sebagai antara beberapa pihak asing yang terlibat dalam kes rasuah terhadap Rolls-Royce.

Pertuduhan rasuah dalam perjanjian AirAsia itu adalah satu daripada 12 tuduhan yang dikenakan terhadap Rolls-Royce selepas siasatan selama empat tahun ke atas urus niaga dengan pelanggan di Indonesia, Thailand, India, Rusia, China dan Malaysia.

Menurut pernyataan fakta difailkan di sebuah mahkamah di Southwark, Rolls-Royce gagal menghalang pekerjanya daripada membekalkan seorang eksekutif Kumpulan AirAsia dengan kredit bernilai AS$3.2 juta (RM14.2 juta) bagi tujuan penyenggaraan sebuah jet peribadi.

AirAsia X dalam satu kenyataan hari ini berkata urus niaga membabitkan jet itu telah melalui "proses kelulusan sewajarnya" dan mendapat kelulusan daripada jawatankuasa audit serta lembaga pengarah.

"Di bawah perjanjian bagi urus niaga itu, AirAsia dikehendaki untuk membuat sumbangan tahunan sebanyak AS$3 juta setahun bagi penggunaan jet korporat.

"Sumbangan tahunan itu merangkumi kos bahan api, kejuruteraan dan penyenggaraan pesawat, caj laluan, fi pendaratan, caj parkir, caj pengendalian darat dan kos keselamatan dan imigresen dan sebagai balasan, CJG bersetuju untuk menyediakan minimum 75 jam penerbangan sebulan kepada eksekutif AirAsia," kata AirAsia.

Ia juga mencadangkan kepada pemegang saham supaya memberi kelulusan semasa mesyuarat agung pada tahun 2014, 2015 dan 2016, dan ini juga dinyatakan dalam prospektus tawaran awam awal AirAsia X sebelum mesyuarat.

AirAsia X disenaraikan pada 10 Julai 2013.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS