Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jab Perhutanan K'tan dikecam ekoran penahanan Orang Asli
Diterbitkan:  Jan 24, 2017 8:51 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menerima kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia dan parti politik berikutan tindakan keras ke atas masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Seramai 16 Orang Asli dan dua petugas media dari Channel News Asia ditahan dalam operasi hari ini, manakala lima lagi ditahan semalam di Simpang Petei berkaitan pembinaan sekatan jalan untuk menghalang pembalak masuk ke kawasan mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail berkata suruhanjaya itu terkejut dengan tindakan Jabatan Perhutanan Kelantan merobohkan hadangan tersebut yang merupakan simbol bantahan masyarakat Orang Asli terhadap pencerobohan tanah mereka.

"Suhakam menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah-langkah konkrit untuk mempercepatkan pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas yang telah pada prinsipnya menerima 17 daripada 18 cadangan oleh Suhakam. 

"Suhakam juga menggesa semakan semula terhadap Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, aktiviti pembalakan di tanah adat Orang Asli mempunyai kesan serius terhadap alam sekitar, cara hidup tradisional dan mata pencarian Orang Asli.

"Kerajaan Kelantan dan agensi-agensinya berpakat dengan pembalak dan mengeksploitasi tanah adat mereka untuk mendapatkan balak," katanya yang menggesa gangguan terhadap Orang Asli dan wartawan dihentikan.

Kerajaan negeri perlu mohon maaf

Jawatankuasa pemandu BERSIH pula berkata jabatan perhutanan negeri telah melampaui batas dan bidang kuasa mereka dengan mengabaikan semua proses undang-undang.

"Kerajaan negeri Kelantan perlu segera memohon maaf dan secara terbuka mengisytiharkan pengiktirafan hak Orang Asli ini.

"Semua gangguan dan kemusnahan harta benda mereka mesti dihenti serta-merta. Semua aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal Balah juga perlu dihentikan kerana tindakan itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan hak Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan MCA Kelantan Lua Choon Hann berkata Jabatan Perhutanan negeri sepatutnya melindungi hutan dan memastikan pemuliharaan alam sekitar, bukan sebaliknya.

"Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan tidak boleh membuka jalan bagi jutawan balak meleperkan bukit, mencemarkan sungai, menyebabkan hakisan tanah, banjir, memusnahkan hidupan, rumah dan cara hidup Orang Asli," katanya.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut menggesa Suhakam memulakan siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa kerajaan Kelantan dan jabatan perhutanan negeri.

"Kerajaan Kelantan telah membenarkan pencerobohan ke atas tanah adat Orang Asli dengan memberikan lesen menduduki sementara dan pajakan tanah. Satu memorandum berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Suhakam esok," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Wira PERKASA, Mohamad Shahiran Safwan Che Mohd Asemari turut mengecam tindakan itu dan menggesa pihak polis bertindak segera terhadap pihak yang menceroboh kawasan Orang Asli.

"Ini adalah satu kesalahan kerana Mahkamah telah membatalkan permohonan sebuah syarikat pembalakan untuk meruntuhkan sekatan antipembalakan yang didirikan oleh Orang Asli di kawasan penempatan mereka.

"Selain itu, mahkamah turut memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak untuk menduduki tanah berkenaan," katanya.

Mohamad berkata, tindakan Jabatan Perhutanan negeri menghina keputusan mahkamah apabila kira-kira 30 buah kenderaan memusnahkan pembinaan Orang Asli di Simpang Petei dan Tohoi Gua Musang.

"Tindakan dilakukan oleh pihak yang diketuai Jabatan Hutan telah menzahirkan sikap sebenar mereka seperti orang gasar dan tidak mempunyai sifat prikemanusian seolah-olah Orang Asli ini dilayan seperti binatang," katanya.

Lihat Komen
ADS