Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lelaki hilang dikhuatiri lemas bot terbalik di Segamat
Diterbitkan:  Jan 25, 2017 6:29 AM
Dikemaskini: Jan 25, 2017 2:17 AM

Seorang lelaki hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik di Kampung Tengah, Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fais Syafiq Hassan, 21, berada dalam bot berkenaan bersama bapa saudara dan sepupu serta dua rakannya.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai sedang dalam perjalanan ke rumah dari Jalan Pemuda ke Kampung Tengah untuk menyelamatkan harta benda susulan banjir.

Bagaimanapun, katanya bot terbabit kemudian bergesel dengan dua lagi bot lain menyebabkan bot berkenaan dimasuki air dan terbalik.

"Dua daripada penumpang bot yang memakai jaket keselamatan terapung dalam air manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya empat penumpang terbabit kemudian diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian.

Raub berkata Mohd Fais Syafiq dipercayai berusaha berenang menuju ke arah bot yang terbalik, namun gagal setelah dibawa arus deras.

Beliau berkata pihak polis yang menerima laporan sejurus selepas kejadian memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Bagaimanapun keadaan gelap menyebabkan pihak polis terpaksa menghentikan operasi pada 7 malam dan akan menyambung usaha mencari pada 9 pagi ini," katanya.
 

Sementara itu, mangsa banjir di Johor meningkat kepada 8,204 orang setakat pukul 7 pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding dengan 6,345 orang daripada 1,885 keluarga, setakat 10 malam tadi, di 57 pusat pemindahan seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata pada 7 malam tadi, jumlah mangsa banjir hanya seramai 3,226 orang melibatkan 865 keluarga.

Katanya 4,921 mangsa ditempatkan di 40 pusat pemindahan di Segamat, Tangkak (105 mangsa di tiga pusat), Johor Bahru (53 mangsa di dua pusat), Kota Tinggi (998 mangsa di lima pusat) dan Kluang (67 mangsa di tiga pusat).

Sebuah pusat pemindahan turut dibuka di daerah Muar dan Mersing bagi menempatkan, masing-masing 90 dan 111 mangsa, dan setakat 7.40 malam tadi, hanya sebuah pusat pemindahan di Kampung Sungai Tiram telah ditutup.

Berikutan keadaan banjir itu, lima jalan di Segamat turut ditutup melibatkan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Jalan Utama Felda Pemanis, Seksyen 2-Seksyen 6 Jalan Segamat-Kuantan (Lebuhraya Tun Razak), Seksyen 4 Felda Medoi dan Jalan
Felda Kemelah.

Penutupan jalan turut meliputi Kampung Orang Asli Sedohok Kahang, Kampung Orang Asli Air Pasir/Kuala Sengka Kahang dan Kampung Orang Asli Berasau Kahang di Kluang serta Jalan Kampung Pasir Salam, Sungai Tiram di Johor Bahru.

Di Kuantan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang pagi ini, mencatatkan peningkatan ketara dengan 1,596 orang daripada 424 keluarga berbanding 352 mangsa daripada 93 keluarga tengah malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang Zainal Yusoff berkata sehingga 8 pagi ini, 43 pusat pemindahan sementara dibuka di tujuh daerah yang dilanda banjir di negeri ini.

"Selain Jerantut, Lipis, Raub, empat daerah lain iaitu Rompin, Kuantan, Maran dan Pekan juga terjejas dengan banjir kali ini.

"Daerah paling ramai yang mencatatkan mangsa pemindahan adalah Maran membabitkan 411 orang daripada 120 keluarga, diikuti Pekan dengan 324 orang daripada 73 keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ia diikuti daerah Kuantan (277 orang daripada 77 keluarga), Raub (213 mangsa daripada 61 keluarga), Rompin (143 mangsa daripada 36 keluarga), Jerantut (120 mangsa daripada 30 keluarga dan Lipis (108 mangsa daripada 27 keluarga).

Sementara itu Raub merekodkan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang paling banyak dibuka setakat ini iaitu 11 pusat, diikuti Maran (sembilan), Kuantan, Lipis, Jerantut dan Pekan, masing-masing lima PPS, manakala Rompin hanya tiga PPS dibuka.

Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat banjir setakat ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS