Iris Corporation Bhd mendakwa bahawa syarikat itu disaman bagi kontrak yang ia tidak pernah terlibat.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia bertarikh 6 September 2016, Iris menafikan menjadi sebahagian daripada perjanjian sub-kontrak yang dimeterai antara Dipon (M) Sdn Bhd dan Bitara Abadi Sdn Bhd tiga tahun lalu.

Iris, di mana Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) memegang kepentingan 21.33 peratus, dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman RM2.4 juta yang difailkan Dipon pada 22 Ogos 2016.

Defendan pertama adalah Bitara Abadi, sebuah syarikat perdagangan yang ditubuhkan pada tahun 1993.

Bitara Abadi telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat penyumberan luar, Data-edge-i-People Consortium, pada 2014 untuk pengedaran machine-readable passports (MRP) di kalangan warga Bangladesh di tapak di Malaysia.

Melalui satu lagi perjanjian sub-kontrak dengan Dipon, Bitara Abadi melantik Dipon untuk menyedia dan membekalkan pekerja Bangladesh di pusat menerima permohonan.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dipon adalah sebuah syarikat perkhidmatan perundingan yang ditubuhkan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Dipon dalam tindakan undang-undangnya mendakwa bahawa bayaran yang diterima di bawah sub-kontrak antara Bitara Abadi dan Data-edge-i-People Consortium dikawal oleh Iris.

Syarikat itu berkata ia tidak dibayar bagi pelaksanaan obligasinya di bawah perjanjian Bitara Abadi-Dipon dan menyaman Iris bagi wang yang terhutang dan kena dibayar di bawah perjanjian itu.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia itu, Iris menafikan menjadi sebahagian daripada perjanjian sub-kontrak Bitara-Dipon.

[Baca berita penuh]