Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar supaya dilepaskan daripada pertuduhan menfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza Taruddin melalui e-mel.

Ketika membuat keputusan itu, Majistret Azroul Hisham Azulan, berkata, setelah mendengar dan meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menolak bantahan awal itu atas beberapa alasan, antaranya pertuduhan terhadap Sharifah Aini adalah jelas, teratur dan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, pertuduhan terhadap Sharifah Aini adalah mengikut kehendak Seksyen 499 Kanun Keseksaan, iaitu tertuduh telah dituduh menfitnah Siti Nurhaliza melalui e-mel kepada adik angkatnya Ahmad Shaharil Jamaludin.

Azroul Hisham juga berkata, pertuduhan terhadap Sharifah Aini juga tidak mengelirukan kerana jelas maksudnya.

Menurut laporan Bernama , Mahkamah kemudian menetapkan lima hari mulai 19 Disember ini untuk perbicaraan kes itu.

Hantar e-mel

Pada 12 April lalu, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Sharifah Aini membuat permohonan supaya anak guamnya dilepaskan daripada pertuduhan itu ketika mengemukakan bantahan awal itu atas alasan pertuduhan terhadap Sharifah Aini adalah cacat dan tidak jelas.

Muhammad Shafee berkata, selain itu, pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwaan juga tidak sah serta tidak mematuhi peruntukan Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan tohmahan atau fitnah.

Sharifah Aini, 52, yang tiba di perkarangan mahkamah pada jam 12 tengah hari menaiki kereta Proton Waja berwarna perak, didakwa menyiarkan beberapa tuduhan tertentu yang menfitnah Siti Nurhaliza melalui e-mel kepada adik angkatnya, Ahmad Shaharil.

Penyanyi itu yang hadir di mahkamah hari ini dengan memakai baju kurung berwarna kuning muda dengan corak bunga-bunga biru itu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Lorong Utara, Off Jalan Utara, Petaling Jaya, pada jam 4.52 petang 24 Ogos lalu.

Sharifah Aini didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman