Ketua Polis Kelantan, Datuk Zuber Shariff kesal dengan tahap disiplin anggota polis di negeri itu kerana ada di kalangan mereka yang terjebak dalam kegiatan maksiat seperti membawa teman wanita ke rumah kediaman polis serta menjalin hubungan sulit dengan isteri dan suami orang.

"Selain itu, tanpa rasa takut ada pula yang menjadi pelindung kepada sindiket penyeludupan dadah, pelacuran, perjudian dan lain-lain bentuk kegiatan negatif yang menyalahi undang-undang negara," katanya

Zuber menegaskan demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau turut menasihatkan anggota polis agar tidak bersekongkol dengan penjenayah.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terbabit dalam kegiatan negatif seumpama itu.

Beliau turut mengesyorkan anggota polis membeli buku laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis setebal 634 muka surat untuk mendapat gambaran sebenar mengenai bidang kepolisan ketika ini.

Selatan Thai belum selamat

Mengenai keadaan keselamatan di Wilayah Selatan, beliau berkata keadaan keselamatan di sana masih bergolak dan bukannya masa yang sesuai untuk dikunjungi.

Oleh itu, katanya, adalah perlu semua pihak memahami situasi yang berlaku di selatan negara itu dengan tidak mengunjunginya buat masa sekarang bagi mengelakkan berlaku keadaan yang tidak diingini.

"Keadaan di sempadan terutama di Selatan Thailand masih lagi tidak menentu dan sekali lagi saya menasihati tuan-tuan dan puan-puan serta keluarga tidak melancong ke sana," katanya.

Kekacauan yang berlaku di tiga wilayah yang bergolak iaitu Narrathiwat, Pattani dan Yala sejak dua tahun lalu masih belum reda dengan beberapa siri letupan bom yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Zuber berkata walaupun tidak ada larangan rasmi untuk berkunjung ke selatan negara jiran itu tetapi orang ramai perlu peka dan akur dengan nasihat pihak keselamatan kerana beberapa kes letupan sebelum ini turut membabitkan rakyat negara ini.