Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta ahli parti itu supaya tidak bertelagah sesama sendiri berhubung cadangannya supaya pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) dibuat di peringkat bahagian.

"Umno negeri nak setujupun okay, tak setujupun okay, tak payahlah nak gaduh-gaduh.

"Kalau tak setujupun saya tak marah, setujupun saya tak kata saya suka," katanya di sidang berita selepas merasmikan 'Seminar Ke Arah Kecemerlangan Sektor Pertanian Di Masa Hadapan' di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangannya itu bulan lalu yang kini hangat dibincangkan.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa tujuan cadangan tersebut adalah untuk membuka polemik bagi membincangkan pro dan kontra mengadakan pemilihan ahli MT di peringkat bahagian.

Menurut laporan Bernama, s etakat ini Umno Pahang telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut, manakala Umno Johor menolak cadangan itu.

Muhyiddin bagaimanapun berkata pihaknya tidak menetapkan tarikh tertentu bagi mengumpulkan semua keputusan.

Sabah akan bermesyuarat

"Elok jugalah bagi masa untuk mereka teliti, mungkin ramai yang belum dapat penjelasan terperinci...Saya nak kumpul semua sekali dan kita tak ada tetapkan dateline (tarikh akhir) ataupun masa," katanya.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Sabah akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan cadangan tersebu bagi mendapatkan pandangan ketua-ketua bahagian, sebelum membuat sebarang ketetapan mengenainya.

"Kita akan mendengar pandangan daripada mereka (ketua-ketua bahagian) dan selepas itu barulah kita buat ketetapan," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Musa Aman

Ketua Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan skim pinjaman pertanian organik yang ditawarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah di Pekan Donggongon, Penampang, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Badan Perhubungan Umno Pahang dan Perlis telah menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan Muhyiddin itu, walaupun ia tidak dipersetujui oleh Umno Johor.