Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
17 laluan di Pahang ditutup akibat banjir
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 3:09 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Sebanyak 17 laluan persekutuan dan negeri di tujuh daerah di Pahang masih ditutup kepada semua kenderaan berbanding 23 laluan semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang Zainal Yusoff berkata berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Pahang, daerah Lipis dan Jerantut merekodkan jumlah laluan paling banyak terjejas.

"Di Lipis sebanyak enam laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Km241 dan Km240 di Jalan Lipis-Gua Musang; serta Km35, Km24 dan Km34 Jalan Lipis-Jerantut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya di Jerantut, empat laluan ditutup iaitu Seksyen 1.3 Jalan Padang Piol-Sungai Retang; Sek. 18 Jalan Link Kota Gelanggi; Km6 Jalan Jerantut-sempadan Kuala Lipis; dan Km11 Jalan Padang Piol-Sg Retang.

Beliau berkata dua laluan di Kuantan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Km16 jalan utama Sungai Lembing dan Sek. 21 Jalan Sg Lembing, manakala laluan di Sek. 35 jalan itu hanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Maran, tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Km 23 Jalan Jerantut-Maran; Km 27 Jalan Jerantut-Maran dan Km 21 Jalan Jerantut-Maran.

Di Temerloh pula melibatkan Km01 -Kuala Krai, jalan utama Jenderak ditutup kepada semua kenderaan, manakala Km 1 jalan utama Loji Air Batu Sawar ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Pekan, laluan di Sek. 0.10 Jalan Kilang Chini 2 ditutup kepada semua kenderaan manakala Km 67 Jalan Rompin-Pekan ditutup selorong, sementara di Raub, sebelah jalan di Km 327 Jalan Raub-Kuala Lipis ditutup kepada semua laluan.

11 jalan terputus hubungan

Sementara itu, di Johor, sebelas batang jalan di empat daerah di Johor masih terputus hubungan berikutan banjir setakat 12 tengah hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata daerah terlibat ialah Segamat, Kluang, Muar dan Pontian.

"Di Segamat, enam jalan ditutup iaitu sebahagian Jalan Jabi ke Bukit Tempurung, sebahagian jalan ke Felda Redong, Jalan Tunku 3 Kampung Tengah, Jalan Kampung Melayu ke Kip Mart, Jalan Pogoh/Tekam dan Jalan Kuala Payang ke Balai Badang.

"Di Kluang, tiga jalan terjejas iaitu membabitkan jalan kampung Orang Asli Berasan, Sedohok dan Air Pasir/Kuala Sengka, manakala di Muar melibatkan sebahagian Jalan Muar ke Labis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayub berkata walaupun Pontian tidak terjejas banjir, sebatang jalan ditutup berikutan jambatan di Kampung Sungai Pinggan runtuh pada 24 Januari lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat 10 pagi ini, lima daerah yang terjejas banjir merekodkan 8,120 mangsa daripada 2,270 keluarga yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

"Di Segamat, jumlah mangsa terkini ialah 6,217 orang daripada 1,782 keluarga yang ditempatkan di 54 pusat pemindahan, Tangkak menyaksikan 1,534 mangsa merangkumi 392 keluarga di 12 pusat pemindahan, Kluang mencatat 195 mangsa daripada 51 keluarga di empat pusat pemindahan, dan Muar dengan 174 mangsa melibatatkan 45 keluarga di dua pusat pemindahan," katanya.

Pusat pemindahan di Johor Bahru, Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi telah ditutup sepenuhnya manakala daerah Kulai dan Pontian tidak terjejas banjir.

Selain itu, di Segamat dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong dan Sekolah Kebangsan Kampung Tengah, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS