TH jamin simpanan pendeposit selamat
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yakin kedudukan kewangannya yang kukuh dan berdaya tahan akan membolehkan ia memenuhi matlamat penubuhannya untuk memberi manfaat kepada jemaah haji Malaysia.
Katanya, tumpuan sentiasa diberi untuk memastikan pencapaian terbaik dalam pengurusan haji, perniagaan dan pelaburan mengikut prinsip-prinsip Islam, demi kepentingan pendeposit.
Sebagai pengurus dana yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, Tabung Haji mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang menyasarkan peluang pelaburan yang boleh menjana pendapatan berulang secara mampan serta mempunyai daya ketahanan risiko.
Tabung Haji menjalankan pelaburan selaras dengan dasar Alokasi Aset Strategik iaitu ekuiti, pendapatan tetap, hartanah dan pasaran tunai, kata lembaga itu dalam satu kenyataan hari ini yang menyuarakan kekecewaan atas serangan berterusan oleh sesetengah pihak yang memberi penekanan berunsur negatif tentang organisasi itu.
"Hasil yang diperoleh daripada pelaburan yang pelbagai dalam banyak sektor telah membolehkan kami menampung peningkatan kos operasi haji serta terus memberi subsidi haji kepada jemaah haji Malaysia setiap tahun," katanya.
Tabung Haji memberi subsidi haji sejak 2000 dan peruntukan subsidi dijangka meningkat kepada lebih kurang RM200 juta tahun ini.
Bagaimanapun, Tabung Haji berkata, dalam setiap portfolio pelaburan mesti ada sebilangan kecil pelaburan yang tidak berdaya saing atau tidak menguntungkan pada sesuatu masa kerana setiap pelaburan yang dibuat tertakluk kepada keadaan pasaran yang tidak menentu.
"Jadi, tidak seharusnya menilai melalui pelaburan yang gagal atau tidak menguntungkan tanpa mengambil kira pelaburan yang berjaya dan menguntungkan dalam portfolio," kata Tabung Haji.
Mengenai pelaburannya dalam industri minyak dan gas, Tabung Haji akan terus menganggap sektor ini sebagai industri yang mempunyai kepentingan strategik nasional.
"Kerugian mark-to-market jangka pendek atau jangka sederhana yang belum direalisasikan tidak akan mengubah minat dan komitmen kami untuk terus melabur dalam sektor ini. Tabung Haji adalah pelabur jangka panjang dalam industri minyak dan gas," kata agensi itu.
Sementara itu, Tabung Haji berkata apa yang lebih penting adalah untuk memahami bahawa kontrak simpanannya adalah berasaskan konsep "al-Wadiah Yad Dhamanah" yang mana simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan dalam masa yang sama semua simpanan disokong oleh aset portfolionya yang seimbang.
Dalam konteks ini, sebarang dakwaaan bahawa pendeposit akan mengalami riskiko kehilangan wang simpanan mereka adalah tidak benar dan berunsur fitnah.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini yang bertopengkan pendekatan melindungi kepentingan masyarakat adalah gimik politik semata-mata yang mencerminkan kekurangan pengetahuan dan kefahaman tentang konsep simpanan berlandaskan syariah di Tabung Haji.
"Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa kedudukan kewangan kami kekal kukuh dan simpanan deposit terjamin menurut konsep simpanan al-Wadiah Yad Dhamanah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung haji," katanya.
- Bernama

