Indonesia sahkan selesema burung pertama pada manusia
Kes pertama jangkitan selesema burung pada manusia dilaporkan di Indonesia apabila seorang pekerja di ladang ternakan ayam di selatan Sulawesi disahkan positif virus itu yang telah membunuh 54 orang di Asia Tenggara, menurut laporan akhbar The Jakarta Post hari ini.
Kes pertama jangkitan selesema burung pada manusia dilaporkan di Indonesia apabila seorang pekerja di ladang ternakan ayam di selatan Sulawesi disahkan positif virus itu yang telah membunuh 54 orang di Asia Tenggara, menurut laporan akhbar The Jakarta Post hari ini.
Akhbar itu yang memetik kenyataan seorang pegawai kesihatan, melaporkan sampel darah seorang daripada pekerja ladang ternakan di selatan Sulawesi, tempat yang baru-baru ini dilanda wabak selesema burung, didapati positif virus itu selepas ujian pengesahan dijalankan di makmal Universiti Hong Kong.
Ketua Pengarah Kawalan Penyakit dan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, I Nyoman Kandu dipetik sebagai berkata kes itu tidak dianggap sebagai jangkitan kerana pekerja itu tidak menunjukkan simptom yang sering didapati pada orang yang dijangkiti virus H5N1 itu.
Pekerja itu sihat, katanya dan menurutnya kementerian itu telah menghantar 81 sampel darah ke makmal itu yang diambil dari lima daerah di selatan Sulawesi selepas berlakunya jangkitan selesema burung di kawasan itu.
"Walaupun hanya satu sampel yang positif, kita perlu meningkatkan pemantauan kita," kata Nyoman.
Beliau mengingatkan para pekerja supaya berhati-hati dengan memakai sarung tangan dan penutup muka semasa mengendalikan ternakan ayam, itik dan burung, serta membasuh tangan mereka dengan bahan penyahpenyakit sekiranya tersentuh secara langsung ternakan berkenaan.
Menurut laporan Bernama, Indonesia pertama kali dilanda wabak selesema burung pada awal 2003 yang menyebabkan berjuta ternakan ayam, itik dan burung dimusnahkan manakala wabak terbaru di selatan Sulawesi berlaku awal tahun ini.
Bulan lalu, Kementerian Pertanian Indonesia mengesahkan kes selesema burung pada ternakan babi di wilayah Banten, yang telah menimbulkan kebimbangan bahawa virus berbahaya itu akan menjangkiti manusia di negara ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.