PBS mohon mahkamah tangguh pilihanraya Likas
Dua anggota Parti Bersatu Sabah (PBS) dan seorang pengundi Likas, Sabah hari ini memohon perintah mahkamah untuk menghalang pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dengan alasan daftar pemilih yang akan digunakan batal dan tidak sah.
Dalam permohonan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tengahari tadi, ahli PBS Bidin Mamat dan Bernadette Wong @ Wong Mui Lee serta Chiang Jak Hon juga memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak kembali daftar itu dan membuat pindaan.
Pilihan raya kecil kawasan itu yang dijadualkan 21 Julai diadakan selepas mahkamah memutuskan bulan lalu bahawa pilihan raya negeri pada 1999 untuk kerusi tersebut terbatal dan tidak sah akibat daftar pemilih yang digunakan mengandungi senarai pengundi yang tidak sah.
Naib Presiden PBS Dr Yee Moh Chai semalam berkata partinya menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR bagi menangguhkan pilihanraya kecil tersebut.
Sabtu lalu, Pengerusi SPR Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata suruhanjaya itu akan menggunakan daftar pemilih tahun lepas yang mengandungi 26,196 orang pemilih. Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Julai ini.
Hari ini ahli jawatankuasa pusat PBS Dr Chong En Leong memberitahu malaysiakini , partinya menangguhkan pilihanraya kecil itu sehingga mereka dapat jaminan daftar pemilih yang digunakan itu bersih daripada "pengundi hantu" atau nama yang didaftarkan tetapi tidak mengikut undang-undang pilihanraya.
Minggu lalu, PBS membentangkan lebih 5,000 nama pengundi hantu dalam daftar pemilih bagi kawasan Likas.
Kemenangan calon BN sebelum ini, Datuk Yong Teck Lee, dibatalkan pada 8 Jun lalu oleh hakim mahkamah pilihan raya Muhammad Kamil Awang selepas mendengar petisyen yang difailkan oleh dua calon yang tewas, Datuk Harris Mohad Salleh dari Parti Bersekutu dan Dr Chong (PBS).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.