Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini menyeru kerajaan supaya menyemak semula dasar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam menubuhkan anak syarikat memandangkan mereka "merampas" kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan oleh kontraktor.

Naib presidennya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata pelbagai kerja pembinaan dan penyenggaraan yang dijalankan oleh kontraktor kini dilaksanakan oleh anak syarikat GLC.

"Mereka hanya perlu memberi tumpuan kepada tugas mereka sebagai pemaju, bukan mewujudkan pelbagai bentuk subsidiari yang memonopoli setiap kerja, sama ada pembinaan atau penyenggaraan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Muhiyuddin berkata GLC seperti Tenaga Nasional, Telekom, UEM, Plus, Felda, Felcra dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) menubuhkan banyak subsidiari yang mengambil tugas-tugas yang sebelum ini ditawarkan kepada kontraktor.

"Mereka terlibat dalam segalanya, malah sebuah PKEN menubuhkan tujuh anak syarikat. Mereka sepatutnya memperuntukkan kerja-kerja yang lebih kecil kepada kontraktor dan berkongsi tanggungjawab sosial dengan kerajaan," kata beliau.

Muhammad Muhyiddin berkata GLC sepatutnya memperuntukkan kerja-kerja kecil seperti membina sub-stesen, penyenggaraan jalan, bangunan dan hospital kepada kontraktor daripada merebut setiap kerja berkenaan.

"Malah, mereka boleh memberikan kerja khusus kepada kontraktor tertentu yang pakar dalam bidang tertentu, seperti mengecat dalam lain-lainnya," kata beliau.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata dengan membahagikan kerja pembinaan yang lebih besar kepada beberapa kerja yang kecil akan membantu kontraktor dan mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Tawar harga murah

"Sekarang ini, GLC menyambar semua kerja dan bagi memastikan ia disiap pada masanya, mereka mengambil pekerja asing," kata beliau.

Muhammad Muhyiddin berkata apabila tender ditawarkan untuk projek tertentu, kontraktor tidak dapat bersaing dengan GLC dan anak syarikat mereka yang boleh menawarkan harga yang lebih murah untuk mendapatkan kerja berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan perlu menyemak semula isu berkenaan secara serius memandangkan amalan sedemikian menjejaskan kebanyakannya kontrak kelas A hingga D berbanding dengan kontraktor kelas F.

"Masalah yang dihadapi oleh kumpulan ini lebih kritikal memandangkan mereka mempunyai pekerja sepenuh masa dan berpengalaman untuk dijaga.

Sebelum ini mereka bergantung kepada projek pembinaan dan penyenggaraan yang dijalankan oleh GLC, tetapi kini agak sukar," katanya.

Muhammad Muhyiddin berkata GLC sepatutnya memberi lebih tumpuan kepada pasaran luar memandangkan mereka mempunyai kewangan dan pengalaman untuk bersaing di peringkat global berbanding dengan kontraktor tempatan yang banyak kekurangan.

Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak wakil dari masyarakat perniagaan dipelawa menduduki lembaga penasihat GLC dan jabatan kerajaan.

"Ini akan membantu mereka mengenalpasti peluang perniagaan, menyumbang idea dan berkongsi pengalaman. Ini akan menjadi situasi sama-sama menang setelah negara akan mendapat faedah dalam banyak cara," kata beliau lagi.