Empat hakim dilantik memegang jawatan hakim Mahkamah Persekutuan dan lima lagi sebagai hakim Mahkamah Rayuan, berkuatkuasa hari ini.

Mereka yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Richard Malanjum, 52, Datuk Arifin Zakaria, 54, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, 62, dan Datuk S. Augustine Paul, 60.

Mereka dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk James Foong, 59, Datuk Azmel Ma'amor, 63, Datuk Mohd Noor Abdullah, 65, Datin Paduka Zaleha Zahari, 56, dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, 54.

Dengan perlantikan hari ini, kesemua jawatan hakim bagi Mahkamah Persekutuan telah dipenuhi manakala ada dua lagi jawatan hakim Mahkamah Rayuan yang belum diisi.

Majlis mengangkat sumpah jawatan diadakan di Dewan Persidangan Mahkamah Persekutan di Putrajaya di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek Ahmad, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Sebelum majlis itu, kesemua mereka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara.

Richard Malanjum dari Tuaran Sabah, memulakan kerjayanya dalam bidang kehakiman sebagai pegawai undang-undang negeri dan seterusnya memegang jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau yang mempunyai kelulusan LLB dari University of London kemudiannya menceburi bidang amalan guaman selama 12 tahun dan sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, beliau memegang jawatan hakim Mahkamah Rayuan.

Berpengalaman luas

Arifin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, antaranya pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Negeri Perak dan Peguam Kanan Persekutuan sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke hakim Mahkamah Persekutuan.

Nik Hashim dari Kota Baharu, Kelantan pula mempunyai pengalaman yang luas sebelum memegang jawatan terakhirnya sebagai hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Antara jawatan yang pernah dipegangnya ialah pegawai kerani di Pejabat Land Scheme dan Hospital Besar Kota Baharu, Kelantan; Inspektor Polis di Kuantan dan Jerantut, Pahang selama empat tahun, Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen dan ahli Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia.

Augustine Paul, hakim yang mendengar kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah berkhidmat sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Penolong Kanan Pendaftar dan Ketua Unit Penyelidikan di Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang berasal dari Batu Gajah, Perak, telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 1 Ogos 2003.

Sementara itu, James Foong yang berasal dari Kuala Lumpur, pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan hakim Mahkamah Tinggi di beberapa negeri dan jawatan terakhirnya ialah hakim Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur dari 2002.

Azmel dari Negeri Sembilan pula pernah berkhidmat sebagai majistret, Peguam Kanan Persekutuan, Ketua Bahagian Undang-Undang Antarabangsa di Jabatan Peguam Negara dan jawatan terakhirnya ialah hakim Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Penasihat undang-undang

Mohd Noor, yang juga berasal dari Negeri Sembilan, memulakan kerjayanya sebagai jurubahasa Melayu dan Tamil di Mahkamah Rendah Kuala Lumpur, Seremban dan Taiping.

Mohd Noor kemudian melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Negeri di Jabatan Peguam Negara Sabah, penggubal undang-undang dan pegawai pemegang harta.

Zaleha dari Kajang, Selangor, pula pernah memegang beberapa jawatan, antaranya sebagai pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi, Timbalan Pendakwa Raya dan jawatan terakhirnya ialah hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Zulkefli yang berasal dari Ipoh, Perak, pula pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya, penasihat undang-undang dan hakim Mahkamah Tinggi di beberapa negeri.

Menurut laporan Bernama, semasa ditemui pemberita, Richard, yang termuda di antara mereka, menganggap pelantikan itu sebagai satu penghormatan yang tinggi dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Hakim Negara atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.

"Saya berharap untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga yang diharapkan daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Ia sudah pasti memberikan lebih cabaran kerana ia merupakan mahkamah tertinggi di negara ini di mana keputusannya adalah muktamad," kata beliau.

Mengulas mengenai tugas seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Richard berkata beliau perlu mengkaji kes-kes di hadapannya dengan lebih mendalam dan berhati-hati kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan memberi kesan kepada masyarakat.

'Ketentuan Tuhan'

Arifin juga mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana melantiknya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan baginya ia satu tanggungjawab yang berat untuk melaksanakan tugas yang adil bagi kepentingan negara, bangsa dan agama.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya, Augustine Paul berkata: "Ianya ketentuan Tuhan. Apa jua yang telah ditentukan oleh Tuhan kepada saya, saya akan laksanakan."

Zaleha, satu-satu hakim wanita dalam kumpulan itu, memberitahu pemberita bahawa beliau gembira kerana diberi peluang dan akan melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.

"Dalam melaksanakan tugas ini, soal jantina tidak menjadi isu. Kami telah diberi tanggungjawab, kami harus melaksanakannya. Tidak kira sama ada kamu seorang lelaki atau wanita, kamu perlu melakukan yang terbaik mengikut tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kamu," kata beliau.