Empat gereja dan sebuah rumah ibadat lain menawarkan ruang di premis mereka untuk kegunaan umat Islam Victoria di Texas, selepas sebuah masjid di situ terbakar kelmarin.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif bagi menyekat kemasukan pendatang dari tujuh negara Islam ke AS.
Kelmarin Pusat Islam Victoria yang terletak kira-kira 185 kilometer di tenggara Houston musnah dalam kebakaran awal pagi. Bagaimanapun tiada sesiapa dalam bangunan itu ketika kejadian berlaku.
Bangunan berkenaan dibina pada 2000 dan pernah dipecah masuk pencuri pada pada 21 Januari lalu,
Pada Julai 2013 dinding luar masjid itu juga pernah diconteng dengan perkataan "H8" - bermaksud hate (benci) - dan seorang lelaki mengaku melakukannya.
Pengerusi Pusat Islam Victoria, Shahid Hashmi, enggan membuat sebarang spekulasi terhadap kemungkinan kebakaran masjid berkenaan mempunyai unsur khianat.
Kata Shahid, bangunan terbakar itu tidak diinsuranskan namun beliau lega kerana bantuan datang daripada pelbagai pihak, termasuk hasil laman sesawang khas yang dicipta untuk membangunkan semula masjid berkenaan.
Tak terkejut sangat
Akhar The Hindu melaporkan, sekurang-kurangnya empat gereja dan sebuah rumah ibadat lain menawarkan tempat mereka untuk kemudahan penganut Islam yang terjejas dengan kebakaran berkenaan.
Menurut Victoria Advocate setakat ini AS$600,000 sudah dikumpulkan. Dianggarkan kos untuk membina semula bangunan itu ialah AS$850,000.
Ahli kariah Masjid Victoria menceritakan seorang lelaki bukan Islam datang ke situ memandu sebuah lori untuk menawarkan bantuan membersihkan kotoran yang ada.
Gary Branfman dari rumah ibadat B’nai Israel berkata, insiden yang mengganggu keamanan penduduk setempat akhirnya akan menyatukan masyarakat.
Datuk Bandar Victoria, Mayor Paul Polasek, berkata beliau agak terkejut dengan sikap penduduk bandar itu bersatu membantu masyarakat setempat walaupun berbeza agama.
"Saya membesar di sini dan kenal sangat dengan orang tempatan. Kami mengambil berat antara satu sama lain. Saya sangat gembira walaupun tidak semestinya terkejut," katanya.
Leigh Ann Grant berkata apabila syarikat bapanya dibayar untuk membina bangunan berkenaan, dia mula menghargai bertapa berharganya sikap saling menghormati.
"Dr Shahid sangat baik dan menghormati kami. Sangat memalukan bangunan itu dibakar," katanya.
