USM halang pelajar dedah tindakan tatatertib
Universiti Sains Malaysia melarang lima pelajar yang dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib hari ini, berhubung pertandingan debat di Singapura, mendedahkan hukuman yang dikenakan kepada "sesiapa", termasuk media.
Menurut satu sumber, pelajar-pelajar itu diiring keluar dari bilik perbicaraan oleh pengawal keselamatan universiti itu.
Mereka yang menunggu di luar bilik sejak awal perbicaraan tidak dibenarkan menghampiri lima pelajar itu, kata sumber lagi.
Lima pelajar itu pernah menyertai Debat Antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia yang berlangsung 20 hingga 27 Mei lalu di sebuah universiti di republik itu. Penyertaan itu tidak mendapat kebenaran USM.
Dua lagi pemimpin pelajar yang turut dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, dengan tuduhan mengeluarkan kenyataan kepada akhbar, dikenakan denda tidak lebih RM200 tiap seorang.
Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Lee Yen Ting dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai mengkritik keengganan USM membenarkan pasukan debat PBT menyertai acara itu kepada Sin Chew Jit Poh pada 19 Mei lalu. Choo juga didakwa mengeluarkan kenyataan kepada The Star pada 21 Mei berhubung perkara yang sama.
Keputusan denda itu diumumkan oleh seorang pegawai USM kepada media di luar bilik perbicaraan jam 3 petang tadi. Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah sebenar denda itu.
Selain itu, Choo juga dituduh menjual lencana kempen 'Mansuhkan ISA' (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kepada seorang kakitangan USM pada 8 Jun lalu. Bagaimanapun setakat ini, hukuman terhadap kesalahan itu masih tidak diumumkan.
Perbicaraan bermula jam 11 pagi dan berhenti rehat sebelum disambung semula jam 2.30 petang tadi. Ia berakhir kira-kira jam 5 petang tadi.
Wakil pemerhati
Jawatankuasa disiplin itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Prof Madya Dr Jamaludin Mohaidin.
Satu sumber lagi memberitahu malaysiakini , lebih kurang 50 pelajar berkumpul di luar bilik perbicaraan itu pagi tadi sebagai tanda sokongan kepada mereka yang dituduh.
Sementara itu Pemuda Parti Keadilan Nasional berhasrat menghantar seorang wakil pemerhati dalam pertemuan antara seorang aktivis pelajar dengan pegawai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dipanggil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Khamis ini.
Pertemuan tiga pihak itu diadakan selepas pelajar, Rafzan Ramli, membuat aduan kepada badan hak asasi itu sehari selepas disingkirkan daripada (UiTM) atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan bagi membantah ISA pada 8 Jun lalu.
Aduan itu antara lain menggesa: Suhakam menyiasat perbicaraan tatatertib itu yang didakwa tidak adil dan tidak bebas, dan juga memohon UiTM membatalkan keputusan memecatnya yang dianggap tidak demokratik.
Menurut kenyataan Pemuda parti itu hari ini, Keadilan akan menghantar surat permohonan rasmi kepada suruhanjaya itu bagi mendapatkan status pemerhati.
Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad hari dilaporkan menasihatkan pusat-pusat pengajian tinggi swasta agar tidak menerima pelajar yang dipecat daripada institusi pengajian tinggi awam kerana terlibat dengan kesalahan berat.
Beliau berkata sekatan seumpama itu telah diamalkan oleh pusat pengajian awam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.