Kedutaan AS di Malaysia mengesahkan, negara ini tidak termasuk dalam senarai larangan dibuat presiden negara itu, Donald Trump.

Jurucakap kedutaan itu memberitahu Malaysiakini, arahan eksekutif Trump adalah kekal seperti dibuatnya pada minggu lalu.

"Malaysia tiada dalam senarai negara yang terkesan dengan arahan eksekutif berkenaan.

"Rakyat Malaysia boleh terus berkunjung ke AS dengan visa sah," katanya.

Sebelum ini ada portal melaporkan kononnya Malaysia kini berada dalam senarai larangan Trump untuk memasuki AS, seperti sudah dikuatkuasakan ke atas rakyat dari tujuh negara umat Islam.

Negara yang terlibat ialah Iraq, Syria, Iran, Somalia, Yaman, Libya dan Sudan.

Laporan itu - yang kini ditarik balik - memetik catatan wartawan AS, Jack Smith, di Twitter.

Smith mengepos catatan itu dengan bersumberkan beberapa peguam yang berada di Lapangan Terbang John F Kennedy di New York.

Menurut peguam terbabit, 71 orang terkandas di lapangan terbang berkenaan adalah tiba dari 20 negara.

Selain tujuh yang disenaraikan Trump, pengunjung yang terkandas itu dilaporkan tiba dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Sri Lanka dan China.

Smith kemudian menjelaskan mereka yang ditahan itu bukan dari negara yang dilarang Trump.

Untuk menjelaskan keadaan itu Smith berkata negara yang dinyatakan itu tidak termasuk dalam senarai larangan kerajaan AS, sebaliknya individu yang ditahan itu datang dari negara yang disebutkannya.

Trump menandatangani arahan berkenaan pada Jumaat lalu - hanya seminggu selepas dia mengangkat sumpah sebagai presiden ke-45 AS.

[Baca berita asal]