Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
20 sekolah di Pahang diberi cuti hari ini dan esok
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 6:38 AM
Dikemaskini: 10:41 PM

Dua puluh sekolah di tiga daerah di Pahang diberikan cuti hari ini dan esok berikutan banjir yang melanda negeri itu, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Rosdi Ismail.

Beliau berkata 13 sekolah berkenaan terletak di Pekan, enam di Maran dan sebuah di Temerloh, membabitkan lebih 3,500 pelajar dan guru.

Katanya cuti berkenaan terpaksa diberikan berikutan ada di antara sekolah berkenaan serta laluannya dinaiki air selain bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan sekolah setelah air banjir surut sepenuhnya.

"Di Pekan, 13 sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Hinai, SK Padang Rumbia, SK Kampung Aceh, SK Pulau Rusa, SK Tanjung Medang, SK Belimbing, SK Serambi, SK Temai, SK Mambang, SK Pelak, SK Pulau Manis dan SK Kincir yang melibatkan 2,128 pelajar dan 268 guru.

"Di Maran pula, enam buah sekolah yang terlibat ialah SK Paya Pasir, SK Serengkam, SK Pesagi, SK Kuala Wau, SK Kertau dan SK Chenor yang melibatkan 663 pelajar dan 96 guru," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Di Temerloh, hanya Sekolah Rendah Agama At-Taqwa sahaja diberikan cuti dan ia mempunyai 336 pelajar dan 24 guru, katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata terdapat 19 sekolah di empat daerah turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu satu di Bera, Temerloh (dua), Pekan (lima) dan 11 sekolah di Maran.

Bagaimanapun, sekolah terbabit tidak terlibat dengan tempoh cuti yang diberikan, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS