Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mencadangkan sempena Hari Wilayah Persekutuan, kemeterian wilayah persekutuan yang diterajui oleh menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dibubarkan.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menjimatkan wang negara tetapi mampu mengelakkan pertindihan kerja.
“Apa yang lebih afdal untuk dilakukan oleh Tengku Adnan sempena Hari Wilayah Persekutuan ini ialah untuk membubarkan kementeriannya itu, yang menjimatkan RM1.61 bilion dana milik rakyat Malaysia,” katanya yang dipetik portal Roketkini hari ini.
Lim mengulas kenyataan Tengku Adnan yang berhasrat menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian dari Melaka sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Portal rasmi DAP itu juga memetik ahli parlimennya berkata, tiada satu perkara pun yang tidak mampu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tanpa kewujudan kementerian yang diterajui oleh Tengku Adnan.
“Hakikatnya juga, kementeriannya bukan sahaja mewujudkan pertindihan kerja, ia malah mengganggu kerja ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan terbabit, katanya.
Hina Agong
Menurut Lim, cadangan menukar status Pulau Pinang itu misalnya boleh disiasat polis kerana adalah suatu penghinaan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Alasan yang diberikan Ku Nan kononnya Pulau Pinang boleh mendapat peruntukan persekutuan adalah bukti bahawa menteri ini mempunyai terlalu banyak peruntukan kewangan dan kuasa.
“(Ini) sehinggakan beliau langsung tidak tahu apa yang nak dibuat dengan peruntukan tersebut, demi manfaat penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” kata Lim.
Semalam, Tengku Adnan semasa diwawancara stesen radio BFM sempena Hari Wilayah Persekutuan berkata beliau berharap konsep wilayah persekutuan boleh ‘dikembangkan’ kepada wilayah atau negeri lain.
Antara yang disebutnya adalah Langkawi di Kedah, Pulau Pinang dan sebahagaian daripada kawasan di Melaka.
Mengulas lanjut, ahli parlimen Segambut itu membidas setiausaha agung Umno tersebut dan berkata sebelum Tengku Adnan memberi penjelasan terlebih dahulu berhubung pencapaian ketiga-tiga wilayah di bawah pentadbiran menteri itu.
“Berapa ekar hartanah milik kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur telah dijual kepada 1MDB, Umno dan pemaju swasta?
“Bolehkah Ku Nan senaraikan tiga keutamaan yang akan menggunakan peruntukan RM1.61 bilion dana kementerian wilayah persekutuan untuk penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tahun ini?” katanya yang dipetik oleh portal DAP itu.
Menurut Lim, di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Pulau Pinang berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan dunia.
Pulau Pinang antara lain jelasnya disenaraikan CNN sebagai antara tempat terbaik untuk bersara di dunia pada tahun lalu manakala pada tahun ini pula, negeri itu berada di kedudukan kedua sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
