Pemandu Myvi halang ambulans serah diri
Pemandu Perodua Myvi yang dilihat menghalang ambulans di lorong kecemasan Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini dilapor menyerah diri kepada polis petang semalam.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pemandu berusia 58 tahun itu diambil keterangan sejurus menyerah diri kira-kira jam 7 malam.
Beliau berkata, hasil soal siasat, pemandu itu menyatakan dia menggunakan lorong kecemasan kerana mahu mengambil ubat di dalam teksinya yang rosak di Glenmarie.
"Pemandu itu menyatakan dia pesakit jantung dan kencing manis, perlu mendapatkan ubat segera kerana tidak mengambil ubat lebih 24 jam.
"Pemandu itu juga memberitahu dia tidak perasan ada ambulans di belakang keretanya.
"Dia hanya perasan selepas nampak melalui cermin pandang belakang dan cuba memberi laluan tetapi tidak sempat," katanya dilapor Harian Metro.
Sahimi berkata, saman dikeluarkan ke atas pemandu berkenaan.
Baru-baru ini, video rakaman pemandu Myvi terbabit menghalang ambulans menjadi tular di media sosial.
Dalam rakaman selama dua minit dan lima saat itu, pemandu Myvi itu dilihat memandu di lorong kecemasan dan menghalang kenderaan kecemasan itu walaupun siren telah dibunyikan.
Ketika kenderaan lain memberikan laluan, Myvi berwarna hitam itu dilihat menyalakan lampu isyarat sebelah kiri dan tidak mengendahkan ambulans di belakangnya.
Pada akhir rakaman video, pemandu itu juga dilihat memecut laju sebelum masuk semula ke lorong kecemasan sehingga hampir menyebabkan kemalangan dengan ambulans terbabit.

