Penari singa kecewa jadi modal politik
Sekumpulan penari singa kesal apabila mendakwa menjadi mangsa politik pihak tertentu ekoran persembahan mereka sempena sambutan tahun baru Cina di Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu.
Pengasas Persatuan Olahraga Tarian Naga dan Singa Gao Feng Malaysia, Yong Kheng Chien, berkata mereka tidak pernah 'memilih bulu' terhadap mana-mana parti politik yang ingin mengadakan persembahan.
Kata Yong, dia kesal kerana pihaknya dijadikan modal politik dan tindakan itu menjejaskan reputasi persatuan terbabit.
"Kami tidak menari untuk meraih undi parti politik, sebaliknya persembahan ini adalah sebahagian daripada amalan budaya turun temurun masyarakat Cina," katannya seperti dilaporkan BH Online pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini rakaman video sambutan tahun baru Cina oleh parti Gerakan menjadi tular kerana didakwa penari terbabit enggan membuat persembahan.
Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Bagaimanapun pemimpin Gerakan menjelaskan keadaan adalah sebaliknya.
Elak konflik berlarutan
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, mendakwa penari tarian singa itu kelihatan tunduk kaku kerana mereka sedang mengupas limau bali dan oren untuk Najib dan Rosmah sebagai tetamu kehormat.
Tan merujuk kepada klip video sepanjang 45 saat itu yang menunjukkan penari terbabit berlutut tidak bergerak untuk beberapa saat.
Turut menonton persembahan itu ialah Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.
"Tiada seorang pun daripada mereka superman. Saya terfikir jika sesiapa boleh mengupas sebiji limau bali dan beberapa biji limau dalam masa kurang dari 30 saat (dengan atau tanpa kepala singa)," kata Tan di laman Facebooknya.
Yong berkata persatuan itu tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan isu berkenaan berlarutan dan mengundang perpecahan di kalangan masyarakat.
Antara individu yang dilapor BH Online melemparkan tuduhan berkenaan ialah Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah; Naib Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dan Hamizura Osman, iaitu adik Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Hamidah.
Yong menjelaskan mereka mengadakan sidang media hari ini bukan disebabkan tekanan termasuk daripada Gerakan, sebaliknya mahu membersihkan nama persatuan dan imej tarian singa.
"Ramai media menghubungi saya dan meminta komen berhubung isu itu, justeru saya mengambil keputusan untuk memberi kenyataan supaya konflik ini tidak berlarutan.
"Jangan jadikan tarian singa sebagai alat memecah-belahkan masyarakat," katanya.

