Parti Amanah Negara (AMANAH) yang disebut-sebut bakal meletakkan calon di Tanjung Datu, hari memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir, parti itu berkata penting untuk mereka menumpukan sepenuh usaha mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"AMANAH mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu yang akan berlangsung pada 18 Februari 2017 ini.

"AMANAH berpendapat, dalam suasana politik semasa hari ini, penting untuk kami menumpukan sepenuh usaha ke arah persiapan dan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi," katanya.

Pilihan raya kecil Tanjung Datu diadakan selepas penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

Adenan yang juga ketua menteri Sarawak memenangi kerusi itu mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan majoriti 5,892 undi pada pilihan raya negeri pada 7 Mei tahun lalu.

Adenan juga mengetuai jentera BN untuk memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya berkenaan.

Ekoran kekosongan kerusi itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan pada 4 Februari ini, manakala tarikh mengundi 18 Februari.

BN menamakan balu Adenan, Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon mereka untuk pilihan raya kecil berkenaan.

Pada 25 Januari lalu PKR terlebih dulu mengumumkan mereka tidak meletakkan calon bagi pilihan raya kecil itu.