Seorang pekerja kilang maut selepas tersepit di mesin acuan sebuah kilang membuat besi dan keluli di kawasan perindustrian Perai semalam.

Loo Chin Hong, 56, tersepit ketika cuba membaiki cakuk di kren mesin itu yang tertanggal.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang bekerja menggunakan mesin itu dan kakinya tersangkut ketika dia cuba membaiki cakuk di kren mesin itu, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid.

Beliau berkata kejadian pada pukul 1 tengah hari itu menyebabkan lelaki berkenaan cedera parah.

Lelaki yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan meninggal dunia, katanya.

- Bernama