Kebanyakan calon MCA dikenal pasti muka baru
Kebanyakan calon MCA yang telah dikenal pasti untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) terdiri daripada muka baru, kata Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kesemua mereka telah diminta melakukan gerak kerja di peringkat akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat dengan prestasi mereka akan dinilai dari semasa ke semasa untuk disenarai pendek sebagai calon.
"Kita telahpun kenal pasti calon-calon ini... sekarang kita hendak mereka melakukan gerak kerja di peringkat akar umbi, biar mereka berkhidmat, dan kita akan menilai prestasi mereka dari semasa ke semasa untuk senarai pendek calon tersebut sebagai calon dalam PRU14 nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama penduduk sekitar Taman Bukit Dinding di Karak, di Bentong semalam.
Liow yang juga menteri pengangkutan berkata beliau yakin mereka dapat memberikan khidmat terbaik memandangkan pemilihan calon itu berdasarkan keputusan parti selain kriteria disukai ramai dan boleh menang.
- Bernama

