Mesyuarat PBB Demak Laut ditangguh ke tarikh baru
Mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Demak Laut yang dijadualkan semalam, telah ditangguhkan sehingga bulan depan, berikutan aduan yang mempertikaikan keputusan pemilihan pemuda bahagian tersebut baru-baru ini.
Mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Demak Laut yang dijadualkan semalam, telah ditangguhkan sehingga bulan depan, berikutan aduan yang mempertikaikan keputusan pemilihan pemuda bahagian tersebut baru-baru ini.
Ketua bahagian berkenaan, Dr Abang Rauf Abang Zen berkata, tarikh baru telah ditetapkan pada 10 Julai ini dan mesyuarat tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PBB, Datuk Abang Johari Tun Openg (foto).
Manakala Abang Rauf seorang penyokong Abang Johari dijangka tidak dicabar tetapi pertandingan sengit dijangka berlaku bagi jawatan timbalan presiden di mana penyandangnya, Bujang Help, akan berdepan dengan dua pencabar Dr Hazlan Hipni dan Padawi Musa.
Dalam pemilihan pemuda bahagian tersebut baru-baru ini, penyandangnya Jolly Merikan seorang ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan telah mengemukakan laporan rasmi kepada Setiausaha Agung PBB, Ambrose Blikau selepas kalah tipis kepada Wan Hamzah Paiee.
Beliau mendakwa, perwakilan dari cawangan-cawangan yang tidak berdaftar, telah dibenarkan mengundi dalam pemilihan tersebut.
Seorang penyokong Merikan mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asajaya, Abdul Karim Hamzah, yang mempengerusikan pemilihan itu, tidak memperdulikan bantahan yang dibuat apabila status dua cawangan yang tidak berdaftar, dipertikaikan.
Manakala Abang Rauf berkata, beliau telah menjadualkan semula tarikh mesyuarat bahagian tersebut untuk memberi masa kepada kepimpinan pemuda PBB membuat keputusan mengenai aduan itu.
Merikan dan para penyokongnya mahu pemilihan baru diadakan dan para perwakilan dari dua cawangan yang tidak berdaftarkan itu, dilarang daripada mengundi.
Bahagian Samariang
Dalam satu perkembangan berkaitan, penyokong Abang Johari Khalid Marzuki menang mudah bagi mempertahankan jawatannya sebagai timbalan ketua bahagian Samariang selepas menewaskan pencabarnya Said Gapur. Marzuki mendapat 64 undi, berbanding 20 undi untuk Said.
Pertandingan bagi jawatan di bahagian berkenaan telah menarik minat ramai pihak kerana persaingan itu membabitkan dua personaliti terkenal.
Said Gapur, yang berasal dari Beladin di luar Kuching diketahui mendapat sokongan daripada kumpulan Datuk Adenan Satem (foto).
Beliau dikatakan telah memberitahu rakan-rakannya bahawa Khalid sudah terlalu lama memegang jawatan tersebut dan tidak mampu memberi banyak sumbangan kepada parti.
Sebaliknya, Said dikatakan memberitahu mereka, jika terpiliah, beliau mempunyai rancangan untuk membawa pembaharuan dalam bahagian berkenaan.
Bahagian Samariang diketahui oleh ahli politik veteran yang juga penyokong Abang Johari Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi. Beliau juga merupakan Ketua Wanita PBB dan berjawatan menteri muda.
Kumpulan Adenan Satem dikatakan menerima satu pukulan lagi apabila seorang lagi penyokong kuat Abang Johari Abdul Badri Samat menang jawatan Ketua Pemuda bahagian itu yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Sementara itu, calon-calon bagi semua jawatan dalam bahagian Tupong, yang diketuai oleh Adun kawasan tersebut, Abdul Rahman Daud, dijangka menang tanpa bertanding apabila mesyuarat perwakilan berlangsung 3 Julai ini.
Dua ahli bahagian berkenaan, yang tidak mahu nama mereka disebut, mendakwa ketua bahagian berkenaan menyimpan semua pencalonan dan sesiapa yang ingin mengemukakan pencalonan, diperlukan menandatanganinya di depan beliau sendiri.
"Jelas sekali, beliau (Abdul Rahman) tidak mahu ada pertandingan bagi semua jawatan," kata mereka.
Abdul Rahman adalah penyokong kuat kumpulan Adenan Satem.
TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.

