Lim pelawa Najib bersidang 'Selamatkan M'sia'
Jemputan telah dihantar kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri persidangan meja bulat bertajuk 'Selamatkan Malaysia' yang bakal diadakan minggu depan, kata Lim Kit Siang.
Pemimpin veteran DAP itu berkata, forum tersebut akan menyediakan ruang dan peluang kepada perdana menteri untuk memulakan sesuatu yang baru.
"Tiada forum yang lebih baik untuk Najib dan kabinetnya untuk membuat permulaan baru untuk bersihkan Malaysia daripada penghinaan dan azab sebagai kleptokrasi global menerusi persidangan meja bulat 'Selamatkan Malaysia'," katanya dalam blog.
Lim berkata, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong selaku setiausaha kerja persidangan meja bulat itu telah menghantar jemputan ke persidangan kepada Najib bersama-sama beberapa pemimpin sivil masyarakat.
Semasa persidangan pada 7 Februari itu, Lim berkata, Najib boleh mencadangkan strategi beliau untuk membebaskan Malaysia daripada reputasi 'kleptokrasi global'.
Katanya, persidangan itu juga menyediakan peluang kepada Najib untuk mendengar cara terbaik menghentikan negara dari terjerumus ke arah kleptokrasi global dan negara yang gagal.
"Saya harap Najib dan menteri kabinet yang dijemput akan mempunyai keberanian dan patriotisme hadir untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam meja bulat ini," katanya.

