Mana-mana pemimpin kanan Umno yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno perlu sedia membela diri kerana parti tidak akan melindungi mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan timbalan pengerusi lembaga tersebut, Tan Sri Zaki Tun Azmi mengenai kemungkinan seorang pemimpin kanan parti akan dipanggil membela diri terhadap dakwaan melanggar etika pemilihan parti.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata parti itu tidak pernah mengamalkan pilih kasih dalam mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli-ahlinya.

"Selalu orang kata kita ambil tindakan terhadap orang kecil sahaja. Orang besar-besar kita tak peduli langsung. Itu tak boleh, kita ambil tindakan terhadap semua sebab peraturan disiplin adalah untuk semua.

"Peraturan disiplin parti bukan dikenakan secara selektif. Sebenarnya tidak ada sesiapa pun dikecualikan dari menghadapi tuduhan jika mereka terbabit melanggar etika pemilihan parti. Itu prinsip parti dan kita berpegang kuat pada prinsip itu," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perdagangan OIC dan Pameran Perdagangan OIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

"Kita tak kira (siapa mereka ini). Saya mahu Lembaga Disiplin menjadi bebas. Saya tidak campur tangan. Tak ada sebab saya campur tangan.

Sukar dapat bukti

"Saya tak tahu siapa yang akan dipanggil sebab Lembaga Disiplin telah diberi peranan sepenuhnya untuk menyiasat dan juga untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang terbukti sebagai melakukan keselahan," katanya.

Ditanya sama ada pemimpin kanan parti yang dimaksudkan itu seorang naib presiden, Abdullah berkata: "Saya balik (dari luar negara) Sabtu, dengar orang kata akan ada list (senarai), sayapun tak nak tanya."

Dalam pemilihan parti September lalu, tiga jawatan naib presiden Umno dimenangi oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam; dan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata siasatan masih terus dijalankan walaupun pemilihan parti dibuat tahun lepas kerana lembaga itu terpaksa menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengelakkan ketidakadilan terhadap mereka yang dituduh.

Abdullah berkata Pengerusi lembaga itu Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen pernah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi mengenai kaedah siasatan dan kesukaran untuk mendapatkan maklumat kerana kesahihan setiap maklumat perlu dipastikan.

"Ketidakadilan boleh berlaku. Jika mereka gopoh dalam membuat keputusan, terlalu nak tunjukkan kerja cepat dan orang nak dikenakan hukuman, maka buat kerja gopoh, akhirnya tak betul, salah," katanya.

Beliau berkata mereka yang didapati bersalah pula masih diberi peluang untuk membuat rayuan bagi menjamin keadilan.

Abdullah berkata Umno berharap lembaga itu dapat menyelesaikan tugas mereka sebelum perhimpunan agung parti bulan depan.