Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas tembak bekas isteri, tembak diri sendiri
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 10:00 PM
Dikemaskini: 10:22 PM

Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya sebelum dia menembak pula dirinya hingga mati di Tingkat 16, Menara Centara di Jalan Chow Kit hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata kejadian berlaku pada 3.15 petang tadi.

Beliau berkata seorang lelaki dilapor datang ke pejabat bekas isterinya yang merupakan kakitangan sebuah firma di bangunan itu.

"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki tersebut melepaskan kira-kira empat das tembakan terhadap mangsa. Dua tembakan mengenai bahagian belakang dan paha kanan mangsa sebelum suspek menembak pula dirinya di kepala," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun datang ke pejabat bekas isterinya yang berumur 46 tahun dengan membawa pistol dan sebilah parang kira-kira 2.50 petang.

Rusdi berkata ketika kejadian, di pejabat mangsa terdapat kira-kira lebih 20 kakitangan, bagaimanapun kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan.

"Berdasarkan maklumat awal, suspek dan mangsa telah bercerai sejak lima tahun lepas dan mempunyai tiga orang anak berumur antara 16 hingga 24 tahun.

"Suspek sebelum ini pernah menggangu mangsa dan mangsa telah membuat laporan polis," katanya.

Mengenai motif sebenar kejadian, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS