Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abu Kassim: Lawan rasuah tanpa mengira ideologi politik

Walaupun telah bersara namun bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed tetap menasihatkan orang ramai agar sentiasa melawan rasuah.

Abu Kassim berkata, sekiranya pada zaman selepas kemerdekaan rakyat boleh bersatu melawan ideologi komunis, mengapa kini rakyat tidak boleh bersatu melawan rasuah.

"Saya ingat lagi masa zaman (bekas perdana menteri) Tun (Abdul) Razak, beliau beritahu ada tiga 'C' yang berbahaya selepas merdeka iaitu communist (komunis), communalism (perkauman) dan corruption (rasuah).

"Kenapa pada masa itu, orang boleh bersatu dan beritahu betapa jahatnya ideologi komunis ini? Tapi kenapa tidak rasuah?," katanya semasa program Bicara Tokoh di Masjid Al-Ikhlas di Seksyen 13, Shah Alam malam tadi.

Tiada sesi soal-jawab dalam program selama kira-kira satu setengah jam itu.

Malah, beliau juga menceritakan tentang rasuah secara umum, indeks rasuah antarabangsa dan pengalamannya semasa menjadi penguatkuasa ketika SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Selain itu, Abu Kassim yang bersara sebagai pesuruhjaya SPRM pada tahun lalu turut menasihatkan masyarakat supaya melawan rasuah tanpa mengira ideologi politik.

"Ia harus dihapuskan, kita perlu yakin kalau kita bersama-sama," katanya lagi di hadapan kira-kira 100 orang jemaah masjid.

Pada Ogos tahun lalu, Abu Kassim bersara sebagai pesuruhjaya SPRM dan digantikan oleh Datuk Dzulkifli Ahmad yang sebelum itu bertugas sebagai pengarah pasukan penguatkuasa pemulihan hasil negara, Jabatan Peguam Negara.

Abu Kassim kini berkhidmat sebagai pakar perunding integriti di Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Lihat Komen
ADS