Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini diberitahu bahawa seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pernah dirogol ketika menyertai perkhemahan pasukan kadet sekolahnya di Lembah Klang.

Koperal Zuki Mohamed, 30, berkata pelatih terbabit menceritakan tentang kejadian itu kepadanya semasa menyerahkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada setiap pelatih PLKN, di dewan makan Kem Merang Suria Holiday, Setiu pada 28 Februari tahun lalu.

"Selepas dia ambil keputusan SPM di dewan makan kem itu, saya tanya bagaimana keputusan. Dia (pelatih) kata, dia gagal semua dan hanya lulus satu (mata pelajaran). Kemudian dia menangis dan sedih.

"Dia kata sebelum dia ikuti PLKN, dia aktif dalam pasukan kadet...tapi saya tak pasti kadet apa, dan pernah mengikuti perkhemahan kadet itu. Dia kata dia tertekan dan sebab itu dia gagal dalam peperiksaan kerana semasa perkhemahan kadet iaitu sebelum SPM, dia dirogol.

"Saya tanya sama ada ibu bapa dia tahu (dia dirogol). Dia kata tidak beritahu, takut ibu bapa dia kecewa. Saya kata, banyak-banyaklah bersabar dan kemudian saya terus pergi dan tinggalkan dia dalam keadaan menangis," kata Zuki ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah semasa pemeriksaan balas pada sesi pembelaan yang bermula hari ini.

Zuki yang pernah menjadi jurulatih fizikal PLKN di Kem Merang Suria Holiday, dituduh merogol pelatih PLKN itu di satu kawasan Industri Tani Rhu Tapai, Merang, Setiu pada 28 Feb 2004, antara 7.28 malam dan 9.30 malam.

Menurut laporan Bernama, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tugas rondaan

Zuki berkata sebelum 28 Feb tahun lepas, beliau tidak mengenali pelatih berkenaan kerana beliau merupakan jurulatih untuk platun satu sedangkan pelatih itu adalah daripada platun dua.

"Pertama kali saya jumpa dia ialah pada 28 Feb 2004, pukul 10.30 pagi di dewan makan semasa urusetia PLKN serahkan keputusan SPM kepada pelatih-pelatih. Masa itulah, pelatih itu panggil dan lambai tangan pada saya yang ketika itu merupakan jurulatih bertugas membuat rondaan dan

sedang melihat anak buah saya dari platun satu menerima keputusan mereka.

"Masa saya sampai, saya tanya apa sebab dia panggil saya. Kemudian dia cakap dia percaya pada saya seorang. Dia kata cikgu (Zuki) lain daripada yang lain. Kemudian saya tanya mana cikgu dia, dia kata cikgu dia balik kampung," katanya.

Zuki berkata kira-kira 3.30 petang, pelatih berkenaan sekali lagi berjumpa denganya di dewan makan menyatakan beliau menghadapi masalah kerana langsung tidak mempunyai wang dan meminta kebenaran untuk mengeluarkan wang di Bank Simpanan Nasional (BSN), Batu Rakit.

"Saya kata, saya tidak boleh beri kebenaran kecuali dia pergi jumpa pengarah kem minta kebenaran dulu. Dia kata tak pe (mengapa) kerana pengarah kem ayah angkatnya dan saya beritahu, kalau dapat kebenaran, beritahu saya," katanya.

Menurutnya sepanjang perjalanan ke BSN itu, beliau memandu secara perlahan iaitu dengan kelajuan antara 30 hingga 40km sejam kerana bimbang dengan perangkap had laju polis.

Zuki juga berkata bahawa beliau tidak pernah mengadakan hubungan seks termasuk atas kerelaan pelatih tersebut.

Ketika menjawab soalan peguambela, Mat Yusoff Mohd dalam pemeriksaan utama, Zuki menafikan bahawa beliau merogol pelatih berkenaan serta menolak tuduhan bahawa beliau pernah pergi bersama mangsa ke kawasan Industri Tani Rhu Tapai.

Pergi ke pantai Merang

Menurutnya beliau juga tidak tahu-menahu bahawa pelatih itu pernah mengandung, selepas kejadian itu.

Beliau berkata selepas menemani pelatih itu mengeluarkan wang, dalam perjalanan balik ke kem itu, mereka singgah membeli RM3 sata kerana pelatih itu hendak memakannya sebelum singgah membeli keropok bernilai RM90 yang dipesan beberapa pelatihnya.

Katanya kira-kira 1km sebelum sampai ke kem terbabit, pelatih itu memberitahu dia tidak mahu pulang lagi kerana hendak melepaskan tekanan kerana gagal dalam peperiksaan SPM.

"Saya dan pelatih itu pun pergi ke pantai Merang iaitu tempat latihan aktiviti kayak kepada pelatih PLKN sebelum ini. Kami makan sata dan lebih kurang 10 minit duduk di situ, kami pun balik. Kira-kira 6.40 petang, kami sampai ke kem dan saya turunkan pelatih itu di depan dewan makan.

"Lepas itu saya tidak tahu dia pergi mana. Dari pukul 7 hingga 9 malam, saya makan keropok bersama pelatih di bawah jagaan saya yang mahu meraikan keputusan SPM mereka, di dewan makan kem itu. Kemudian saya keluar beli burger yang dipesan oleh beberapa pelatih saya," katanya.

Pemeriksaan balas dihadapan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim disambung esok.