Lima jawatankuasa kecil kaji perakuan suruhanjaya diraja polis
Terjemahan Suruhanjaya Diraja Polis mengambil masa lebih setahun untuk menyediakan 125 perakuan bagi membaiki mutu perkhidmatan pasukan polis. Kini kerajaan mewujudkan lima jawatankuasa kecil bagi menyediakan perakuan berasaskan kepada perakuan-perakuan suruhanjaya tersebut.
Terjemahan Suruhanjaya Diraja Polis mengambil masa lebih setahun untuk menyediakan 125 perakuan bagi membaiki mutu perkhidmatan pasukan polis. Kini kerajaan mewujudkan lima jawatankuasa kecil bagi menyediakan perakuan berasaskan kepada perakuan-perakuan suruhanjaya tersebut.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata satu daripadanya ialah jawatankuasa kecil yang diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, untuk mengkaji cadangan penubuhan badan pengawas bebas pasukan polis, tanpa diberi had masa.
Katanya, jawatankuasa undang-undang dan peraturan yang diketuai peguam negara itu akan membuat perakuan kepada pihak kerajaan mengenai langkah yang akan diambil selanjutnya.
Ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini, Noh bagaimanapun berkata, kerajaan tidak terikat untuk menerima kesemua perakuan tersebut, "tetapi ia tidak bermaka kita akan menolak kesemuanya".
Menurutnya, penerimaan sebarang perakuan tersebut bergantung kepada banyak faktor, seperti keutamaannya, kesesuaian dan kemampuan kerajaan dari segi kewangan dan perundangan.
Suruhanjaya tersebut yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, juga turut mengesa supaya dilaksanakan segera perakuan-perakuannya, malah bersedia untuk menyediakan rang undang-undang berhubung perkara tersebut.
Pasukan petugas kabinet
Mengulas lanjut mengenainya, Noh berkata kerajaan tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru dalam perkara tersebut kerana ia membabitkan penggubalan undang-undang baru.
Berikutan itu, katanya, kerajaan akan menunggu terlebih dahulu perakuan jawatankuasa kecil yang ditubuhkan di bawah pasukan petugas kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengkaji 125 perakuan tersebut.
Empat jawatankuasa kecil itu berkaitan dengan pengurusan sumber manusia, logistik dan kewangan, premis dan banunan serta etika kerja dan pemodenan pengurusan pasukan polis.
Dalam mesyuarat pertama pasukan petugas kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan segera RM2.5 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina 25,000 rumah dan pejabat.
Bercakap dalam sidang media kemudiannya, Noh ditanya mengapa projek RM2.5 juta itu diberi keutamaan daripada perakuan-perakuan lain, sedangkan suruhanjaya tersebut mencadangkan projek itu dijalankan pada tahun 2010.
Sebaliknya, suruhanjaya itu mahu lima lagi perakuannya dilaksanakan segera, iaitu mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mematuhi undang-undang, hak asasi manusia dan menyediakan alasan munasabah sebelum membuat tangkapan.
'Patah semangat'
Beliau tidak menjawabkan soalan itu, tetapi sebaliknya bertanya kepada pemberita 'lima yang mana?'
Noh berkata, banyak perakuan yang sedang dilaksanakan tetapi tidak dapat ditunjukkan secara khusus yang mana satu.
Beliau juga berkata, 'imej negatif' terhadap pasukan polis berikutan laporan suruhanjaya tersebut telah mengakibatkan sesetengah anggota polis telah 'patah semangat'.
Bagi berlaku adil, katanya, pasukan polis telah menjalankan tugas mereka dengan agak berkesan tetapi laporan suruhanjaya tersebut menggambarkan seolah-olah anggota polis adalah rasuah dan tidak menjalankan tugas mereka.
"Kita mesti fahamkan mereka (anggota polis) adalah manusia dan perasaan mereka tidak dihargai," tambahnya.
Walaupun isu-isu tersebut mendapat perhatian utama dalam sesi soal-jawab, tetapi laporan suruhanjaya tersebut tidak dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

