Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta para menteri menjawab sendiri soalan dan isu-isu mengenai kementerian masing-masing yang dibangkitkan di di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Abdullah memberitahu demikian dalam mesyuarat pra-majlis bersama ahli Parlimen Barisan Nasional yang diadakan sebelum bermulanya sidang kedua Dewan Rakyat, hari ini.

"Terutama mengenai isu-isu yang mendapat perhatian media seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), masalah buli, Islam Hadhari, pembangunan ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), inflasi dan subsidi," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Nazri berkata Abdullah juga mahu ahli Parlimen BN membaiki kehadiran mereka di sidang Dewan Rakyat yang kini ditahap 50 hingga 69 peratus.

Menurut laporan Bernama, dalam sidang kali ini, Nazri berkata sebanyak 1,008 soalan lisan telah dikemukakan oleh 291 wakil rakyat, selain 281 soalan bertulis.

Daripada jumlah itu, 189 soalan ditujukan kepada Jabatan Perdana Menteri manakala Kementerian Pelajaran (98), Kementerian Kewangan (67), Kementerian Dalam Negeri (60) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (60).

Menurut Nazri, isu-isu yang akan dibangkitkan adalah laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, Islam Hadhari, penghinaan al-Quran di kem tahanan Guantanamo Bay, diesel, pengajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan, Pelan integrasi Nasional dan RMK9.

Selain soalan dan isu yang dibangkitkan, ahli Parlimen juga mengemukakan 32 usul untuk dibahaskan dalam persidangan dewan rakyat kali ini.