Australia paksa pemilik asing jual hartanah
Pihak berkuasa Australia memaksa pemilik asing yang membeli 15 harta tanah secara haram di negara itu supaya menjualnya semula ketika kerajaan cuba meredakan kemarahan pengundi yang tidak berpuas hati dengan kemudahan rumah mampu milik.
Kerajaan sedang meningkatkan penguatkuasaan peraturan pelaburan luar negara yang jarang dilaksanakan sehinggalah tahun lepas.
Pengumuman terbaru oleh Bendahari Australia, Scott Morrison, pada Isnin menjadikan jumlah harta tanah yang dipaksa jual oleh kerajaan menjadi 61 sejak Mei tahun lalu, membabitkan nilai A$107 juta (RM363.5 juta), kata kerajaan.
Lima belas harta tanah terbaru yang dipaksa jual oleh kerajaan Australia itu membabitkan pemilik warga China, India, Indonesia, Iran, Malaysia, United Kingdom dan Jerman.
Warga asing mesti mendapatkan kebenaran daripada agensi kerajaan, Lembaga Kajian Pelaburan Asing, sebelum boleh membeli sebarang harta tanah di Australia.
Harga rumah di Sydney meningkat dua kali ganda sejak 2009 menjadikan bandar raya terbesar di Australia itu kota kedua paling mahal untuk didiami di dunia selepas Hong Kong berdasarkan kajian firma Demographia.
Dalam perkembangan berasingan, Australia - yang memetik isu keselamatan - menolak bidaan asing untuk memiliki aset infrastruktur, termasuk grid elektrik Ausgrid bernilai $16.2 bilion (RM55 bilion).
- Reuters

