Terjemahan Jika kerajaan kurang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2003, tetapi keadaan sebaliknya berlaku tahun lalu, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam laporannya bagi tahun 2004 yang dibentangkan di Parlimen hari ini selepas lama tertangguh, suruhanjaya itu berkata ISA kerap digunakan sepanjang tahun lalu.

Sehingga 15 Disember tahun lalu, sejumlah 113 orang ditahan di bawah ISA, berbanding 97 orang tahun sebelumnya (sehingga 31 Disember 2003). Majoriti mereka disyaki terbabit dengan keganasan.

Di samping itu, katanya, terdapat kes-kes baru tahanan ISA yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan dokumen.

Menurut laporan 334 muka surat itu, kes-kes itu boleh dikendalikan di bawah sistem kanun jenayah biasa, tanpa perlu menggunakan kuasa tahanan ISA.

Selain itu, Suhakam berkata, 36 arahan lanjutan tahanan dikeluar pada tahun lalu dan hanya tiga tahanan sahaja yang dibebaskan.

Laporan itu menyifatkan perkembangan itu sebagai bercanggah dengan anggapan yang penggunaan ISA telah berkurangan sepertimana yang dinyatakan oleh Suhakam dalam laporan tahun 2003.

ISA membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara dan penahanannya boleh dilanjutkan oleh pihak berkuasa bagi setiap dua tahun.

Pindaan terhadap ISA

Laporan Suhakam juga menyentuh mengenai tahanan ISA lima pelajar yang menuntutkan di Pakistan, dan pemindahan lima tahanan dari Kem Tahanan Kamunting ke Pusat Tahanan Polis yang didakwa untuk tujuan 'pembasuhan otak'.

Dari aspek positifnya, Suhakam berkata, kerajaan telah mengulangi kesediaannya September lalu untuk membuat pindaan terhadap ISA supaya ianya lebih 'telus'.

Suhakam berharap agar pindaan itu akan mengambilkira perakuan-perakuan yang dibuat oleh suruhanjaya tersebut dalam laporan "Kajisemula ISA".

Dalam laporan tersebut, Suhakam menggesa supaya dimansuhkan ISA dan digantikan dengan undang-undang baru yang komprehensif yang menyatakan dengan khusus kesalahan-kesalahan berkaitan dengan ancaman terhadap keselamatan negara.

Sementara itu, laporan 2004 itu juga menyentuhkan debat mengenai ISA antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz dan Ketua Pembangkang Kit Siang, yang disifatkannya sebagai satu langkah positif, kecuali dicacatkan oleh kesukaran pihak penganjurkan untuk mendapatkan permit polis.

Suhakam juga mengulangi pendiriannya bahawa penahanan tanpa bicara adalah merupakan 'satu bentuk penahanan yang amat esktrem' yang menafikan hak asasi seseorang itu, dan haknya untuk mendapat keadilan melalui perbicaraan sehinggalah dibuktikan bersalah.

ISA digubal untuk menangani masalah perjuangan bersenjata komunis tetapi kemudiannya digunakan terhadap ahli-ahli politik yang tidak sehaluan dengan pihak pemerintah.