Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing berasa lega apabila parti itu diterima sebulat suara menjadi komponen Barisan Nasional (BN) setelah lama menunggu.

"Saya berterima kasih kepada Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan BN negeri kerana memberikan sokongan penuh kepada PRS dan menerimanya sebagai komponen BN," katanya.

Abdullah mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam tadi. Dengan kemasukan PRS, BN kini dianggotai 14 parti komponen.

Dr Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak berkata parti itu akan bekerja lebih keras dengan ikhlas dan jujur bagi kebaikan BN dan rakyat.

"Saya mahu memastikan kepada BN bahawa tidak akan ada lagi pertikaian politik dan kami akan bekerjasama dengan semua parti komponen BN dengan ikhlas. Kami akan menyokong BN selama-lamanya," kata kepada Bernama.

Dr Masing berkata beliau menerima berita baik itu daripada Pegawai Awam BN, Datuk Yaacob Mohamad yang menghubunginya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi malam tadi.

PRS ditubuhkan pada 21 Oktober tahun lalu oleh bekas pemimpin Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) pada hari yang sama pendaftaran PBDS dibatalkan berikutan kegagalan menyelesaikan pertikaian dalaman parti itu yang berlarutan selama dua tahun.

Dr Masing dan lapan wakil rakyat PBDS menyertai PRS sehari selepas pendaftaran PBDS dibatalkan manakala lima lagi bekas wakil rakyat PBDS masih belum menjadi ahli mana-mana parti sehingga sekarang.

Letak jawatan

Kelima-lima mereka ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Joseph Salang (anggota Parlimen Julau), Jawah Gerang (ahli Parlimen Lubok Antu), Aaron Dagang (ahli Parlimen Kanowit), Gabriel Adit (ahli Dewan Undangan Negeri Ngemah) dan Stanley Ajang (ahli Dewan Undangan Negeri Belaga).

Ditanya mengenai hasrat Timbalan Presiden PRS, Datuk Sng Chee Hua (foto) untuk meletak jawatan, Dr Masing berkata ia hanya khabar angin.

Pada 11 Jun lalu, laporan muka depan Utusan Sarawak memetik sumber parti sebagai berkata Sng akan melepaskan jawatannya itu tidak lama lagi.

Laporan itu menyatakan Sng secara sukarela akan meletakkan jawatan bagi menyatukan masyarakat Dayak untuk sama-sama terbabit dalam pembangunan perdana negeri.

Sng dikatakan bersedia untuk menyerahkan jawatan itu kepada sama ada naib presiden Joseph Entulu Belaun (ahli Parlimen Selangau dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) atau bekas setiausaha agung PBDS Salang.

Sementara itu, bercakap selepas mesyuarat BN malam tadi, Abdullah berkata, permohonan PRS itu dicadangkan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Adenan Satem dan telah disokong sebulat suara dan tiada parti yang membantah.

Mesyuarat BN malam tadi juga melantik Bendahari Agung Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dilantik sebagai Bendahari Agung BN. Setiausaha kerja Umno, Datuk Yaacob Mohamad pula dilantik sebagai Pegawai Awam BN.

Perkukuh BN

PBDS yang bergelora akibat krisis kepimpinan antara puak Dr Masing dan satu lagi kem yang diketuai Datuk Sri Daniel Tajem, pertama kali dibatalkan pendaftarannya pada 5 Disember 2003.

Pada bulan Mac tahun lalu, parti itu diberikan lebih banyak masa bagi membolehkan kedua-dua puak mencari jalan penyelesaian, namun usaha itu gagal. PBDS yang ditubuhkan pada 1983, akhirnya dibatalkan Oktober tahun lalu.

Sejak awal penubuhannya lagi, PRS diterima sebagai parti komponen BN Sarawak oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Parti-parti BN Sarawak yang lain ialah Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) yang diketuai Abdul Taib, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan

Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Mengulas mengenai PRS, Abdullah berharap parti baru itu dapat membantu memperkukuhkan BN dan bekerja cara BN serta menyokong dasar-dasar BN.

"Sebagai anggota BN tentulah dia ada peranan dan tanggungjawab yang ia akan laksanakan. Tentulah dia mesti pegang teguh cara BN iaitu sentiasa wujud muafakat dan kerjasama antara parti komponen BN dan akan menyokong kerajaan melalui partinya.

"Apa jua yang kerajaan lakukan, mereka (PRS) perlu berikan sokongan...tindakan dan dasar-dasar kerajaan dan akan terus berusaha untuk meramaikan lagi penyokong BN dan ahli-ahlinya terus setia pada BN," tambahnya.