‘Beri peluang koperasi buka stesen minyak’
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon agar koperasi diberi peluang untuk membuka stesen minyak di jajaran Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kelantan ke Pahang.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya bercadang bertemu dengan pengurusan projek CSR bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut selain akan mendapatkan sokongan kerajaan negeri.
"Terdapat banyak koperasi di bawah Angkasa yang berpengalaman membuka dan menyelenggara lebih 200 buah stesen minyak di seluruh negara dengan Pahang sebagai penyumbang paling banyak.
"Terdapat lebih 90 buah stesen minyak di Pahang di bawah koperasi dan kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman," katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang di Kuantan, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah SKM Pahang Datuk Mohamad Zawawi Mahmud.
Abdul Fattah menambah untuk tahun ini, terdapat tiga buah stesen minyak milik koperasi sedang dalam dalam pembinaan iaitu Tembeling Tengah di Jerantut, Keratong (Rompin) dan Kemasul (Bentong).
Koperasi juga dalam perancangan membuka tiga lagi stesen minyak iaitu di Rompin, Lipis dan Kuantan, tambahnya.
Projek CSR yang merupakan laluan alternatif melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 350 kilometer bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Bentong dan setakat ini sebahagian daripada jalan itu telah siap dibina.
- Bernama

