Kelab nafi 'tekanan politik' di sebalik pembatalan Zaid
Kelab Diraja Selangor (KDS) menafikan dakwaan bahawa ia membatalkan tempahan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim kerana tekanan politik.
Sebaliknya, ikata kelab itu, bilik majlis yang disediakan adalah untuk acara peribadi, sosial, dan sukan sahaja, dan sidang akhbar Zaid tidak tergolong dalam mana-mana kategori.
"KDS adalah semata-mata kelab sosial dan sukan. Ahli-ahli dibenarkan untuk menempah bilik fungsi untuk acara peribadi, sosial, dan sukan sahaja.
"KDS dimaklumkan oleh seorang ahli tujuan acara 7 Februari itu. Memandangkan ia bukan sebarang acara sosial atau sukan, maka jawatankuasa kelab membatalkan tempahan itu selaras dengan dasar dan prosedur operasi kelab.
"Ini adalah soal dalaman dan bukannya hasil campur tangan pihak ketiga," kata Pengurus Besar kelab itu, Ramesh Menon dalam satu kenyataan hari ini.
Zahid disebut-sebut akan mengumumkan penyertaannya secara aktif dalam politik semula pada sidang akhbar esok dengan menyertai DAP. Beliau sebelum ini enggan mengesahkan spekulasi itu.
Sidang akhbar itu asalnya akan diadakan di sebuah bilik di kelab itu di Bukit Kiara. Memandangkan pembatalan itu, ia kini dijadual diadakan di kediaman Zaid di Petaling Jaya.
Zaid mendakwa pembatalan yang dimaklumkan pada jam 6 petang semalam itu dibuat susulan “desakan politik”, walaupun tempahan sudah dibuat minggu lalu.
“Kami sudah tempah dan membayar kepada Kelab Diraja Selangor.
“Tiba-tiba semalam kami terima panggilan beritahu mereka tidak benarkan kerana ada arahan daripada pihak lain,” katanya.
Beliau sekadar memaklumkan bilik berkenaan akan digunakan bagi sidang media bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang.

