Lelaki maut kenderaan terbabas ke dalam gaung
Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dipandunya terbabas ke dalam gaung di Long Malim, Murum lewat petang kelmarin.
Christopher Leechen Lawang, 62 yang dalam perjalanan dari rumah pekerja sebuah kem pembalakan menuju ke Long Malim memandu melalui jalan balak dan sedang menuruni bukit apabila kenderaannya hilang kawalan akibat jalan licin
dalam kejadian pada lebih kurang 6.30 petang itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Belaga DSP Melay Tinggom, mangsa yang berasal dari Rumah Mabong, Sungai Stam Rasan di Tubau mengalami kecederaan parah di kepala.
Mangsa yang dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Asap oleh pihak kem pembalakan terbabit disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
Kemalangan maut itu adalah kes pertama direkodkan di daerah pedalaman Belaga untuk tahun ini.
- Bernama

