Terjemahan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Seberang Perai (MPSP) digesa supaya memberhentikan amalan memberi projek landskap kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan politik dengan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno.

Ketika membuat gesaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur DAP, Danny Law Heng Kiang Law mendakwa, selain membazirkan wang rakyat, syarikat-syarikat terbabit juga gagal mematuhi prosidur bagi memastikan kualiti kerja pengindahan dan landskap.

Manakala MPPP dan MPSP pula, dakwanya, gagal mengawasi dan memastikan syarikat-syarikat berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan, disebabkan oleh adanya tekanan politik

"Hasil kerja syarikat-syarikat ini bermutu rendah. Lagi pula, kontrak-kontrak yang mahal diberikan kepada syarikat-syarikat ini untuk projek pengindahan dan landskap, walaupun semuanya dapat dilaksanakan pada harga yang lebih murah," katanya.

Tahun lalu, MPPP dan MPSP memberi kontrak-kontrak pengindahan dan landskap yang masing-masing bernilai RM8 juta. Pada tahun 2003 pula, jumlahnya ialah masing-masing RM7.4 juta dan RM10 juta.

Kedua-dua majlis perbandaran tersebut, telah membelanjakan RM9.4 juta pada 2001, dan RM14.8 juta 2002.

"Hasil kerja memuaskan'

Ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan mendakwa, pihak pembangkang sengaja memperbesar-besarkan isu tersebut.

Katanya, hasil kerja pengswastaan landskap pada umumnya memuaskan walaupun ada sesetengah projek yang gagal memenuhi jangkaan dan spesifikasi yang diharapkan. Bagaimanapun, katanya, MPPP dan MPSP sudah mengambil langkah menangani masalah itu.

Menurutnya, dalam hal tersebut, majlis berkenaan telah memastikan pihak kontraktor memperbaiki dan meningkatkan mutu kerja mereka.

"Syarikat-syarikat ini telah mematuhi arahan-arahan tersebut," katanya, sambil menambah, beberapa syarikat telahpun disenaraihitamkan kerana gagal mematuhi arahan.

Law, bagaimanapun, mempertikaikan kenyataan tersebut, dengan mengambil contoh projek-projek di mana pihak kontraktor gagal mematuhi terma-terma dalam kontrak.

Beliau mendakwa, ia termasuklah sebuah kontrak bernilai RM4.2 juta di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas dan kontrak penyelenggaran seterusnya bernilai RM350,000 sebulan; dan projek bernilai setengah juta ringgit bagi menanam pokok dan pokok bunga renek di 50 bulatan di Seberang Perai.

Dua lagi projek untuk mengindahkan sebahagian Jalan Gurdwara dan Island Glades, dakwa Law, masih belum dijalankan.

MPSP juga membelanjakan RM5,750 seminggu untuk menyediakan pokok segar dan bunga di banguna pejabatnya di Butterworth sejak tahun 2000 sehingga bulan lepas.

Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi Sungai Puyu, Phee Poon Boh membangkitkan perkara tersebut dalam sidang dewan lalu, Dr Teng menjawab, kontrak itu sedang dikaji semula dan termanya juga disemak kepada penyediaan hiasan di tempat strategik di bandar Butterworth.

Konsep DIY

Law mencadangkan supaya majlis-majlis berkenaan melaksanakan sendiri projek landskap di kawasan masing-masing. Tahun lalu, MPPP terpilih menerima anugerah projek landskap terbaik dari kerajaan pusat bagi Taman Belia Majlis Perbandaran itu di Taman Botani.

"Apabila mereka boleh melakukannya sendiri, mengapa perlu diswastakan projek-projek tersebut?" soalnya.

Beliau juga menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat projek-projek pengindahan dan lanskap berkenaan.

Dalam reaksinya, Dr Teng berkata, majlis perbandaran tidak dapat melaksanakan sendiri projek-projek tersebut kerana kekurangan kakitangan, terutama pekerja mahir.

"Memanglah...lebih mudah bercakap daripada melakukannya. Ia lebih menjimatkan jika projek-projek itu diswastakan," tambahnya.


ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.