Parlimen: Eksport kereta Proton masih terlalu kecil
Memandangkan daya saing Proton di pasaran antarabangsa pada masa ini tidak begitu kukuh, maka syarikat kereta nasional itu perlu bergabung dengan syarikat automotif lain supaya mampu bersaing di pasaran tempatan dan luar negara.
Memandangkan daya saing Proton di pasaran antarabangsa pada masa ini tidak begitu kukuh, maka syarikat kereta nasional itu perlu bergabung dengan syarikat automotif lain supaya mampu bersaing di pasaran tempatan dan luar negara.
Oleh itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan menggalakkan Proton mengadakan gabungan strategik dengan syarikat lain sebagai salah satu langkah mengukuhkan daya saingnya di pasaran antarabangsa.
"Sebuah syarikat yang duduk secara terasing bagaimana nak bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang telah bergabung?" katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) mengenai dasar baru industri automobil negara dalam mengimbangi kehendak bagi terus melindungi industri automobil negara di samping membuka pasaran kepada automobil luar secara terkawal.
Menurut laporan Bernama, Ahmad Husni berkata, Proton perlu mengikut langkah syarikat-syarikat pengeluar kenderaan lain yang telah lama bergabung seperti Ford yang bergabung dengan Mazda, Volvo dan Jaguar.
"Untuk maklumat, kita lihat dari segi industri automotif, daripada 28 pengeluar, mereka bergabung menjadi lima," katanya.
Menurutnya, walaupun di pasaran tempatan Proton masih dapat bertahan pada kadar 44.5 peratus daripada keseluruhan pasaran domestik, jualan kereta Proton di luar negara masih kecil berbanding dengan syarikat-syarikat lain.
Jumlah eksport kecil
"Kuantiti kereta yang dijual dalam pasaran domestik meningkat daripada 155,420 pada 2003 kepada 166,833 pada 2004.
"Tetapi di pasaran antarabangsa, statistik pada 2003 menunjukkan jualannya sebanyak 7,622 dan 12,818 pada 2004...kalau kita banding dengan kereta lain, jumlahnya begitu kecil," katanya.
Beliau berkata Proton mensasarkan untuk meningkatkan penjualan kereta di luar negara kepada 100,000 unit dan ini dilakukan melalui kerjasama dengan negara luar.
Sementara itu, para menteri hadir di Dewan Rakyat hari ini untuk menjawab soalan yang ditujukan kepada kementerian mereka selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Dalam sesi soal jawab pagi tadi, daripada tujuh soalan asal yang sempat disebut, enam daripadanya dijawab oleh menteri.
Semalam, semasa mempengerusikan mesyuarat pra-majlis melibatkan ahli Parlimen BN, Abdullah meminta menteri menjawab sendiri soalan yang ditujukan kepada mereka terutama topik-topik yang menjadi isu semasa.
Kheng Yaik jadi sasaran
Menteri di Jabatan di Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed menjawab soalan pertama daripada S.K Devamany (BN-Cameron Highlands) kepada Perdana Menteri, mengenai usaha dan langkah terperinci ke arah membangunkan modal insan.
Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu pula menjawab dua soalan berasingan mengenai projek jalan raya besar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan isu pembinaan jejantas berhampiran sebuah sekolah menengah di Kuala Krai.
Dan apabila Hasni Mohammad (BN-Pontian) meminta penjelasan mengenai program membasmi kemiskinan di kawasan bandar, ia dijawab Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting.
Kehadiran Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menggamatkan seketika sidang Parlimen apabila beliau dihujani pelbagai soalan tambahan mengenai perkhidmatan air selepas menjawab soalan asal Chong Hon Min (BN-Sandakan) mengenai masalah kekurangan bekalan air dan elektrik di Sabah yang sudah sampai ke tahap serius.

