Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan ahli akademik yang memandang negatif kemasukannya ke dalam DAP sebagai “profesor kangkung”.

Katanya, ramalan bahawa langkah itu tiada kesan langsung kepada orang Melayu serta cara akhbar dan portal BN menyerangnya sebenarnya “menunjukkan kebimbangan”.

“Saya tahu hati naluri orang Melayu. Ada yang cuba meremehkan kemasukan saya bahawa saya bukan Melayu biasa, tetapi Melayu liberal.

“Saya bukan liberal, cuma saya mempunyai minda yang terbuka. Saya tidak endah sangat dengan cerita dongeng, atau cerita palsu,” katanya.

Dalam tulisan terbaru berbahasa Melayu di blognya hari ini, Zaid yang sering menulis dalam bahasa Inggeris berkata, untuk maju, bangsa Melayu perlu menilai sesuatu perkara itu berasaskan fakta dan keadaan.

Sementara itu, Zaid juga menjelaskan antara sebab utama beliau masuk DAP adalah untuk mengajak Melayu Umno mula berfikir secara rasional.

“Bila Melayu Umno percaya cerita dongeng raja Arab memberi sumbangan derma kepada Najib; dan percaya bahawa kerugian kepada kerajaan dari kerenah 1MDB hanya 1 juta ringgit, maka itu petanda Melayu sudah hilang perhitungan yang rasional,” katanya.