Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal dakwa lepas jawatan demi Umno
Diterbitkan:  Feb 8, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Mengakui bahawa dirinya menjejaskan nama baik Umno dan kepimpinan tertinggi parti khususnya di Selangor, Datuk Seri Mohd Jamal Yunos hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Dalam surat bertarikh 7 Februari itu, Jamal secara rasmi meletakkan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Sungai Besar dan pengerusi BN parlimen Sungai Besar atas alasan menjaga nama baik parti.

Jamal membuat keputusan itu selepas beliau dibebaskan dari tahanan reman polis berhubung serbuan terhadap premis yang didakwanya sebagai sarang perjudian di Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember lalu.

"Saya percaya kes ini telah menjejaskan nama baik parti dan kepimpinan tertinggi parti khasnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

"Sebagai ahli yang menyayangi parti yang telah banyak jasanya kepada rakyat, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian tersebut dan berhasrat untuk meletakan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Sungai Besar dan pengerusi BN parlimen Sungai Besar," kata Jamal dipetik sebagai berkata dalam surat berkenaan.

Surat tersebut diedarkan dalam kumpulan WhatsApp miliknya bersama media.

Malah dalam kumpulan WhatsApp berkenaan, Jamal turut berkongsi gambarnya bersama Noh di pejabat anggota parlimen Tanjung Karang itu di Putrajaya.

Isnin lalu, Jamal bersama sembilan penyokongnya dibebaskan awal daripada tahanan reman lima hari kerana rompakan berkumpulan.

Kesnya disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Serbuan Jamal ke pusat perjuan yang dikatakan itu adalah sebahagian kempennya untuk menyerlahkan kegagalan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR dalam membendung aktiviti haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat kemudian dilaporkan berkata premis yang didakwa sebagai pusat perjudian itu sebenarnya memiliki lesen pusat hiburan keluarga serta mendapat permit dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Lihat Komen
ADS