Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Kritikan pada wartawan TV3 wajar
Diterbitkan:  Feb 9, 2017 3:44 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata kritikannya terhadap seorang wartawan TV3 pada Selasa lalu adalah wajar kerana organisasi berkenaan menjadi alat kerajaan.

Lim berkata walaupun bersetuju dengan pendirian Gerakan Media Merdeka (Geramm) bahawa "media bukan musuh" namun anggota parlimen Gelang Patah itu berkata, organisasi tradisional seperti TV3 dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh itu, pembangkang tidak boleh membiarkan serangan dan provokasi daripada media yang dikawal Najib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim pada Selasa menjadi hilang sabar apabila diasak dengan pertanyaan seorang wartawan TV3 mengenai kemungkinan beliau akan mengambil "nada berbeza" dalam isu skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan dagangan tukaran wang asing (forex) jika tiada kerjasama politik dengan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran reaksi Lim itu, Geramm mengeluarkan kenyataan dengan membidas sikap beliau yang dianggap tidak wajar terhadap seorang wartawan.

Geramm juga kesal kerana Lim turut dilihat tidak memberi kesempatan kepada wartawan terbabit mempertahankan diri atau menyatakan rasional berhubung soalan itu, apatah lagi memperlihatkan pertimbangan profesional terhadap wartawan itu.

Insiden itu berlaku pada sidang media mengenai pengumuman penyertaan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, ke dalam DAP pagi kelmarin.

Sidang media itu diadakan di rumah Zaid di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Lim berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Geramm kerana ia membuka ruang kepada perbincangan mengenai integriti kewartawanan, dan sama ada ia disalahgunakan oleh Putrajaya.

"Kewartawanan membawa tugas suci iaitu untuk menegakkan kebenaran, bukan menjadi alat kepada rejim mengekalkan penipuan dan pembohongan, apa lagi untuk membisukan rakyat supaya kerajaan dapat terus berkuasa," kata Lim yang pernah bertugas sebagai wartawan beberapa dekad lalu.

Kontroversi BMF berlaku pada awal 1980-an sejurus selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri manakala Bank Negara Malaysia pernah mencatat kerugian sebanyak RM44 bilion melalui kegiatan forex antara 1991 hingga 1993.

Kedua-dua isu berkenaan kini dimainkan oleh sesetengah pihak untuk mempersoalkan integriti Dr Mahathir yang kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Lihat Komen
ADS